Sabtu, 29 Oktober 2016 | 7:00am

Ronaldo layak dipilih pemain terbaik dunia: Zidane


Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane (kiri) dan Cristiano Ronaldo- Foto http://www.givemesport.com/

MADRID: Jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane menyokong Cristiano Ronaldo untuk meraih anugerah Ballon d'Or atau pemain terbaik dunia kali keempat meskipun bintang Portugal itu bergelut di depan pintu gol.

Ronaldo memenangi trofi Liga Juara-Juara bersama Real dan kejuaraan Euro 2016 bersama Portugal untuk menjadikannya pilihan mendapat anugerah pemain terbaik dunia pada 9 Januari tahun depan.

"Secara jelasnya dia layak untuk Ballon d'Or," kata Zidane menjelang ke Alaves untuk saingan La Liga.

"Bukan saja di peringkat individu, tetapi di peringkat kolektif ... dia tahu segala-galanya, apa yang dicapainya dan terima kasih kepada kerja keras terhadap orang-orang di sekelilingnya,".

Ronaldo dijangka menerima saingan daripada pemenang sebanyak lima kali, Lionel Messi, Gareth Bale dan Antoine Griezmann untuk anugerah berkenaan.

Bagaimanapun, prestasinya merosot sejak kembali daripada dua bulan akibat masalah lutut selepas mengalami kecederaan ligamen pada perlawanan akhir Euro 2016.

"Apa yang Ronaldo lakukan setiap kali adalah bertaraf tinggi jadi tidak menjadi masalah jika dia tidak menjaringkan gol.

"Dia marah (kerana tidak menjaringkan gol), tetapi tidak ada apa yang perlu dibimbangkan," tambah Zidane. - AFP

Berita Harian X