Ahad, 30 November 2014 | 5:43pm

Mesyuarat SEA-PAC kukuhkan kerjasama cegah rasuah serantau

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Negara Anggota Asia Tenggara Memerangi Rasuah (SEA-PAC) yang bermula esok di ibu negara, dilihat akan memperkukuh kerjasama dalam kalangan negara anggota untuk memerangi jenayah rasuah merentas sempadan dengan lebih berkesan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, berkata negara anggota SEA-PAC perlu memanfaatkan peluang itu untuk berkongsi idea termasuk yang menyentuh pengalaman terkini memerangi rasuah.

"Mesyuarat kali ke-10 yang berlangsung selama tiga hari mulai esok itu akan mengadakan perbincangan mengenai beberapa perkara seperti siasatan dan pencegahan rasuah di sektor swasta, kepimpinan berintegriti dan urus tadbir baik dalam kalangan komuniti bisnes," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shukri yang juga pengerusi jawatankuasa induk penganjuran mesyuarat itu, berkata selain SPRM, ia juga disertai Biro Mencegah Rasuah Brunei Darussalam, Komisi Pemberantasan Korupsi Indonesia dan Biro Penyiasatan Amalan Rasuah Singapura.

Peserta lain ialah Unit Pencegahan Rasuah Kemboja, Pejabat Ombudsman Filipina, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan Thailand, Inspektorat Kerajaan Vietnam, Pihak Pemeriksa Negara Laos dan Biro Siasatan Khas Myanmar.

Beliau berkata, SPRM sebagai tuan rumah kali ini, akan membuat pembentangan mengenai mekanisme penubuhan Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus (CIG) di peringkat persekutuan, negeri dan kerajaan tempatan di bawah pemantauan SPRM dan Jabatan Perdana Menteri.

Pencapaian berhubung penubuhan Unit Integriti bagi memerangi rasuah di agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), akan turut dikongsi bersama peserta lain di mesyuarat itu.

Dalam mempromosi SEA-PAC di peringkat antarabangsa, beliau berkata portal SEA-PAC yang dibangunkan dan diselia oleh SPRM akan dilancarkan pada hari pertama mesyuarat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan dijadual menyampaikan ucapan pembukaan mesyuarat itu.

-- BERNAMA

Berita Harian X