Isnin, 31 Oktober 2016 | 5:51pm

Jack Ma pilihan Malaysia majukan ekonomi digital


PENGASAS syarikat Alibaba, Jack Ma. - Foto Forbes

BEIJING: Malaysia akan mendapatkan kerjasama pengasas syarikat e-dagang gergasi China, Jack Ma, untuk memajukan ekonomi digital negara.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata Ma yang terkenal sebagai pengasas syarikat Alibaba, mungkin dipelawa menganggotai badan digital sedia ada bagi memudahkannya memberi nasihat dan idea.

"Kita akan berbincang dengan beliau berhubung kemungkinan membawa ideanya ke Malaysia," katanya kepada media selepas menyambut ketibaan Datuk Seri Najib Razak di Hotel China World, di sini, hari ini.

Mohd Irwan diminta mengulas jangkaan pertemuan Perdana Menteri dengan Ma sempena lawatan rasminya ke China selama seminggu, bermula hari ini.

Mohd Irwan berkata, keakraban hubungan dua hala dengan China akan membolehkan Malaysia mempelajari kaedah memajukan bidang ekonomi digital.

"Ekonomi digital akan menjadi bidang utama dan penting bukan saja sekarang, malah 0 hingga 20 tahun akan datang.

"Justeru, kerjasama Malaysia-China lebih menguntungkan Malaysia bukan saja dalam pembangunan insan tetapi juga kemajuan ekonomi negara," katanya.

Ma adalah pengasas dan Pengerusi Eksekutif Alibaba, yang memulakan syarikatnya sebagai industri kecil dan sederhana pada 1999.

Kini, Alibaba menjadi syarikat e-dagang terbesar di China, manakala Ma memiliki kekayaan dianggar bernilai AS$37.1 bilion (RM155.7 bilion).

Berita Harian X