Rabu, 2 November 2016 | 12:06am

Tragedi 11 September cetus perubahan

MINAT mendalam dalam bahasa Arab dan al-Quran, menyebabkan pendakwah bebas, Fazrul Ismal, 36, mengambil mata pelajaran bahasa Arab sebagai subjek elektif selama enam tahun mulai 1999 ketika melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Kimia di Amerika Syarikat (AS).

Sekelas dengan tentera AS yang dihantar ke Iraq, menambah semangatnya untuk terus mendalami bahasa Arab kerana melihatkan kesungguhan rakan sekelas belajar bahasa itu semata-mata bagi memudahkan mereka berkhidmat di Iraq.

"Saya pernah satu kelas dengan tentera AS yang ditugaskan ke Iraq. Mereka secara terang-terangan melahirkan rasa bangga dapat membunuh orang Islam di Iraq. Saya sangat sedih dengan perkara ini dan ia menambahkan lagi semangat untuk mendalami bahasa Arab," katanya.

Beliau sanggup mengeluarkan wang poket sendiri untuk belajar bahasa Arab di Mesir selama setahun selepas tamat pengajian di AS. Bagi memantapkan pembacaan pula, beliau belajar menghafaz al-Quran dengan imam berbangsa Arab di Masjid Greater, Lafayette, AS.

Sudah mempelajari al-Quran sejak kecil, pastinya arahan imam supaya membaca huruf hijaiyah satu yang mengejutkan tetapi itulah yang berlaku dan hampir empat bulan beliau hanya diarahkan memahirkan diri dengan makhraj huruf.

"Awalnya memang bosan, maklumlah tujuan utama adalah mahu menghafaz al-Quran namun lain jadinya. Tetapi lama kelamaan barulah saya menyedari makhraj huruf ini penting dalam pembacaan al-Quran," katanya.

Edar al-Quran terjemahan

Pemergian kali kedua merantau ke negara Uncle Sam itu ketika menemani isteri, Sudarti Suparmin, 34, yang menyambung pengajian ijazah sarjana dalam bidang Kejuruteraan Bio Perubatan di Los Angeles.

Pada tahun pertama berada di sana, beliau menjalankan perniagaan atas talian dengan menjual pinggan mangkuk serta beg tangan berjenama dan menghantarnya kepada pelanggan di Malaysia sebelum ditawarkan berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif Yayasan al-Furqaan Chicago (Bahagian Carlifornia).

"Tugas saya adalah mendapatkan sumbangan orang ramai dan korporat untuk projek mencetak al-Quran terjemahan bahasa Inggeris. Al-Quran itu tiada bahasa Arab, cuma terjemahan sahaja bagi memudahkan masyarakat bukan Islam membacanya dan tidak timbul prejudis.

"Setahun bersama yayasan itu, kami berjaya mengedarkan 400,000 terjemahan al-Quran. Banyak lokasi kami pergi mengedarkannya. Kami letak di 30 hotel, di pagar rumah, gantung di luar pintu rumah dan ada kalanya mengedarkannya di tempat awam," katanya.

Hasil daripada usaha itu, pihaknya menerima panggilan telefon daripada bukan Islam yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai agama Islam. Ada penduduk yang berterima kasih kerana sudah lama mencari al-Quran terjemahan.

Tidak dinafikan, ada juga yang terus membuangnya sebaik diberi terutama mereka yang terlalu benci dengan Islam, namun ia hanya segelintir kecil. Alhamdulillah, ramai yang menerima hidayah daripada hasil dakwah melalui pemberian al-Quran terjemahan itu.

Tidak mampu jawab

Fazrul berkata, tragedi 11 September 2001 yang menjurus kepada banyak perkara membabitkan umat Islam sejagat turut memberi kesan terhadap hidupnya dan menjadi titik tolak permulaan beliau mendalami Islam.

Beliau berasa terpukul apabila ramai yang bertanyakan mengenai Islam dan kandungan al-Quran tetapi tidak mampu menjawab atau memberi penjelasan sewajarnya. Lahir sebagai orang Islam tetapi tidak mendalami ajaran agama sendiri.

"Mulai saat itu, saya tidak lagi berpaling ke belakang dan berusaha mengkaji al-Quran. Alhamdulillah, sedikit sebanyak kajian dibuat dimuatkan dalam buku hasil tulisannya Sinopsis 114 Surah," katanya.

Beliau yang giat menjalankan kerja dakwah termasuk sebagai perunding Rumah Ngaji berkata, selepas tragedi itu semua al-Quran dan buku mengenai Islam habis terjual kerana ramai yang mahu mengetahui mengenai agama Islam.

Katanya, masyarakat Barat suka membaca dan mengkaji. Apabila mereka mengkaji al-Quran, ia bukan isu main-main sebaliknya banyak persoalan mengenai kehidupan, syurga dan neraka dirungkaikan.

Disoal polis

Semasa di AS, beliau mengembara ke merata tempat untuk menyebarkan dakwah dengan mengadakan pelbagai program termasuk bersama pelajar. Antara peristiwa tidak mungkin dilupakan sepanjang melakukan dakwah ialah ketika ditahan polis.

Mengimbau insiden itu, beliau berhenti untuk solat di sebuah stesen minyak dan pemiliknya menghubungi polis kerana tidak pernah melihat orang Islam bersolat. Nasib baik polis hanya meminta penjelasan apa yang dilakukan beliau.

Beliau turut teringat kenangan menunaikan solat subuh di atas salji sudah membeku dan betapa sejuknya terasa kepala ketika sujud.

Katanya, pengalaman itu menjadikan beliau menghargai saat berada di tanah air dengan kebebasan untuk beribadah terjamin malah boleh menunaikan solat di mana sahaja tanpa bimbang timbul persepsi orang lain.

Mengakui tidak meneruskan kerjaya dalam bidang dipelajari ketika di universiti walau mendapat tawaran gaji serta jawatan tinggi di syarikat multinasional, Fazrul berkata, beliau ingin mencuba dunia latihan yang tidak ramai yang terbabit ketika itu.

"Selepas melakukan solat istikharah, saya pilih jalan menceburi bidang latihan, jauh berbeza dengan bidang kejuruteraan. Rupa-rupanya kemahiran yang saya pelajari dalam kejuruteraan mampu dimanfaatkan sebaiknya untuk mengkaji al-Quran," katanya.

PROFIL

Nama: Fazrul Ismal

Asal: Bidor, Perak

Pendidikan: Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh, Perak, Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia dan Bahasa Arab (minor) di Universiti Purdue, West Lafayette, Indiana, Amerika Syarikat, Sijil Bahasa Arab, Alim International Arabic Learning Center, Kaherah, Mesir

Kerjaya: Penyelidik Usia Karbon, Jabatan Fizik, Universiti Purdue (2001), Pereka Laman Web Pendidikan Jarak Jauh Jabatan Veterinar, Universiti Purdue (2002), Eksekutif Penyelidikan dan Pembangunan, Pusat Latihan KERSANI, Segamat (2003-2005), Pengarah Eksekutif Yayasan al Furqaan Chicago (Bahagian Carlifornia) (2008), Pengarah Urusan, Total Success Training & Consultancy (2007-kini, Pengarah Urusan, Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd (2013-kini)

Isteri: Sudarti Suparmin, 34.

Anak: 5 orang (11 bulan hingga 10 tahun)

Berita Harian X