Rabu, 2 November 2016 | 12:52pm

BNM lantik anggota Majlis Penasihat Syariah sesi 2016-2019

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan pelantikan ahli Majlis Penasihat Syariah (MPS) bagi tempoh tiga tahun, berkuat kuasa 1 Nov, 2016.

Dalam kenyataan hari ini, BNM menjelaskan menurut peruntukan Seksyen (53), Akta Bank Negara Malaysia 2009, pelantikan ahli MPS ini sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Ahli MPS berkenaan ialah Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman (Penasihat Perundangan Syariah, Jabatan Peguam Negara); Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Mufti Wilayah Persekutuan); Datuk Dr Mohd Daud Bakar (Pengerusi Eksekutif, Amanie Advisors); Datuk A Aziz A Rahim (Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia) dan Prof Dr Mohamad Akram Laldin (Pengarah Eksekutif, Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA)).

Turut dilantik, Prof Dr Engku Rabiah Adawiah Engku Ali (Profesor, Institut Kewangan dan Perbankan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM); Prof Dr Ashraf Md Hashim (Ketua Pegawai Eksekutif ISRA Consultancy); Prof Madya Dr Asmadi Mohamed Naim (Profesor Madya, Pusat Pengajian Perniagaan Islam, Universiti Utara Malaysia (UUM); Dr Shamsiah Mohamad (Penyelidik Kanan ISRA) serta Burhanuddin Lukman (Penyelidik ISRA).

Menurut Bank Negara, ahli MPS yang dilantik adalah individu yang berkelayakan, cekap dan terkemuka dalam kalangan ulama Syariah dan ahli undang-undang dan berpengalaman luas dalam bidang kewangan, perbankan, undang-undang, dan aplikasi Syariah, khususnya dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam.

Berita Harian X