Rabu, 2 November 2016 | 5:09pm

Ramdan selesa 'tutup mulut' mengenai masa depan


A Moto2 Petronas AMH, Ramdan Rosli ditempat ke-12 pada perlumbaan grandprix MotoGP 2016 di Litar Antrabangsa Sepang (SIC). - Foto Osman Adnan

KUALA LUMPUR: Pelumba negara di Kejuaraan Motosikal Sepanyol CEV Repsol, Ramdan Rosli masih 'membisu' mengenai masa depannya bersama pasukan PETRONAS AHM Malaysia meskipun menanam impian tinggi untuk bersaing dalam Kejuaraan Motosikal Dunia musim depan.

Ramdan, 20, adalah salah seorang daripada pelumba yang dipilih untuk menyertai Program Pembangunan Bakat PETRONAS selain Hafizh Syahrin Abdullah.

Bagaimanapun, PETRONAS yang turut mempunyai program sama untuk sukan permotoran empat roda sudah tidak lagi menyenaraikan dua pelumbanya, Jazeman Jaafar dan Nabil Jeffri di dalam program berkenaan.

Keputusan itu menyebabkan nasib Ramdan kini menjadi tanda tanya, adakah dia bakal mengikut jejak Jazeman dan Nabil tatkala syarikat petroleum negara sedang bergelut dengan krisis ekonomi global.

"Nak dikatakan sudah terlalu bersedia itu tak ada (ke Kejuaraan Motosikal Dunia). Cuma ia membakar semangat saya untuk menyertainya.

"Buat masa ini, saya hanya buat kerja saya dan berusaha gigih dalam perlumbaan dan tengoklah apa program untuk tahun hadapan nanti," kata Ramdan mengenai masa depannya.

Ramdan yang menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Malaysia atas tiket wild card minggu lalu di tangga ke-12 berkata, dia sememangnya mempunyai impian menyertai Kejuaraan Motosikal Dunia namun buat masa ini mahu memberi tumpuan kepada pusingan terakhir musim CEV Repsol di Valencia, 20 November ini.

"Sudah tentu impian nak ke Moto2 Kejuaraan Motosikal Dunia. Apapun saya berharap di Valencia nanti dapat menghadiahkan kejutan buat pasukan saya.

"Di GP Malaysia baru-baru ini, ada dua tiga pelumba di CEV, jadi untuk pusingan terakhir ini, saya akan cuba habis-habisan seperti mana saya lakukan di Sepang," katanya.

Berita Harian X