Rabu, 2 November 2016 | 7:58pm

SIC Racing bakal ada penaja Moto3 baharu


PELUMBA Moto3, Adam Norrodin dari pasukan Drive M7 SIC Racing ketika beraksi di Litar Antarabangsa Sepang, baru-baru ini. - Foto Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: Drive M7 tidak lagi menjadi penaja utama buat pasukan SIC Racing Team untuk musim baharu Kejuaraan Motosikal Dunia tahun depan.

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) berkata, penaja utama bagi pasukan yang bertanding dalam kelas Moto3 itu akan diumumkan Februari ini selain menjelaskan tajaan itu hadir daripada syarikat tempatan.

"Masih dalam perbincangan. Saya harap pada masa ujian MotoGP Februari ini, kami dapat membuat pelancaran rasmi dengan penaja baharu ini.

"Ia (penaja utama) adalah daripada tempatan dan yang lain itu daripada syarikat antarabangsa," kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali.

Drive M7 mula menaja pasukan berkenaan sejak tahun lalu yang mana ketika itu pelumbanya ialah Zulfahmi Khairuddin dan Jakub Kornfeil.

Adam Norrodin menggantikan Zulfahmi yang kini menyertai Kejohanan Superbike Dunia (WSBK) manakala Kornfeil dikekalkan bersama pasukan untuk tahun ini.

Bagaimanapun, pelumba dari Republik Czech itu baru-baru ini mengumumkan yang dia bakal menyertai pasukan Peugeot Saxoprint untuk musim 2017.

Justeru, untuk musim depan SIC Racing Team akan disertai Adam Norrodin dan juga seorang pelumba baharu yang diperkenalkan ketika Grand Prix (GP) Malaysia minggu lalu, Ayumu Sasaki dari Jepun.

Sasaki turut membuat penampilan di GP Malaysia dengan muncul sebagai pelumba gantian buat pasukan Gresini Racing Moto3, Enea Bastianini yang tercedera ketika di GP Australia, dua minggu lalu.

Juara Red Bull MotoGP Rookies Cup 2016 itu bagaimanapun tidak menamatkan perlumbaan selepas terbabit dengan satu insiden di awal saingan.

Berita Harian X