Rabu, 2 November 2016 | 11:58pm

Piala Perpaduan AFC: Brunei benam Timor Leste


PEMAIN Brunei, Shah (tengah) dikawal pemain Timor Leste pada Kejohanan Piala Perpaduan AFC di Stadium Sarawak, Kuching. - Foto BERNAMA

KUCHING: Dua jaringan daripada penyerang Azwan Ali membantu Brunei menundukkan Timor Leste 4-0 dalam perlawanan pembuka tirai Kumpulan A Kejohanan Piala Perpaduan AFC di Stadium Sarawak, Petra Jaya di sini malam ini.

Padang licin dan takungan air akibat hujan lebat sebelum perlawanan nyata menjejaskan aksi kedua-dua pasukan sehinggakan kedudukan terikat 0-0 hingga waktu rehat.

Brunei tampil lebih agresif pada babak kedua dan usaha mereka membuahkan hasil apabila Azwan menggegarkan gawang hasil rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-62.

Gol itu membangkitkan semangat Brunei dan Azwan terus menghukum kealpaan pertahanan lawan apabila menyumbang gol kedua lima minit selepas itu, sebelum Mohammad Shah Razen Said menjadikan kedudukan 3-0 menerusi sepakan penalti minit ke-70.

Timor Leste semakin tertekan apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Rufino Walter Gama dilayangkan kad merah pada minit ke-73 selepas mencetuskan pergaduhan dengan pemain lawan.

Cabaran Timor Leste berakhir apabila Adi Said menambah jaringan untuk melengkapkan kemenangan 4-0 Brunei pada minit ke-80.

Timor Leste akan menentang Nepal di Stadium Negeri pada Sabtu ini manakala Brunei berdepan Nepal di Stadium Sarawak pada 8 November, bagi aksi kedua masing-masing di kejohanan yang baru diadakan buat kali pertama itu.

Saingan Kumpulan B akan bermula esok, menyaksikan Sri Lanka menentang Laos di Stadium Negeri bermula pukul 4.30 petang manakala Macau berdepan Mongolia di Stadium Sarawak pada pukul 7.30 malam. - BERNAMA

Berita Harian X