Khamis, 3 November 2016 | 3:17pm

Yana berjinak-jinak sebagai penceramah

YANA Samsudin bersama anaknya, Aisy Mateen. - Sumber Instagram

KUALA LUMPUR: Selain lakonan, Yana Samsudin sebenarnya turut mengembangkan bakatnya sebagai penceramah sejak beberapa tahun lalu.

Bukan sekadar berkongsi topik dunia perfileman, bintang Adnan Sempit itu juga turut mengupas tajuk berkaitan kewangan, motivasi, perniagaan dan kekeluargaan bersama khalayak.

"Saya sudah diundang sebagai penceramah untuk berkongsi topik-topik tertentu bersama orang ramai sejak beberapa tahun lalu. Topik yang saya kongsi selalunya perkara berkaitan dengan bidang yang saya ceburi seperti filem, perniagaan dan motivasi," katanya kepada BH Online.

Paling baharu, katanya, beliau akan memberikan ceramah mengenai inspirasi pendidikan dan kerjaya di SACC Mall, Shah Alam, pada 12 November ini.

Menurutnya, walaupun sering memenuhi undangan menyampaikan ceramah, beliau masih lagi berminat untuk terus aktif di bidang lakonan.

YANA Samsudin mengembangkan bakatnya sebagai penceramah sejak beberapa tahun lalu. - Sumber Instagram

"Cuma, saya agak kurang berlakon sejak beberapa bulan lalu kerana mengandungkan anak pertama. Malah, saya juga baru saja selesai berpantang selepas melahirkan Aisy Mateen, 21 Julai lalu.

"Saya ada menerima undangan berlakon, tetapi masanya pula kurang sesuai. Apatah lagi saya memberikan susu badan kepada si kecil.

"Jika ada penggambaran drama atau filem yang tidak memakan masa panjang, mungkin saya akan pertimbangkan," katanya yang baru-baru ini menerima tawaran mengacarakan program Nasi Lemak Kopi O.

Menurut Yana, ketika mengandungkan Mateen, beliau juga sempat menjalani penggambaran filem hantu berjudul Happy Birth Death di Pulau Pinang, penghujung tahun lalu.

Beliau satu-satunya pelakon Melayu dalam naskhah terbitan Full Billion Entertainment itu, yang bakal menemui penonton di pawagam pada 22 Disember depan.

"Filem ini diterbitkan oleh syarikat yang menghasilkan produk untuk pasaran masyarakat Tionghua. Cuma, bagi filem ini saya diambil berlakon sama sebagai usaha mereka untuk menembusi pasaran Melayu pula," kata isteri kepada pelakon dan penulis skrip, Fadzil Zahari, ini mengenai projek yang turut dibintangi Jean Tan, Qian Kung dan Yang Bao.

Berita Harian X