Sabtu, 5 November 2016 | 12:18am
bhplus derma organ

Derma organ si mati, umpama memberi nyawa baharu

MENERIMA organ baharu adalah anugerah tidak ternilai bagi pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang, jantung, hati, paru-paru dan tisu. Ia umpama memperoleh 'nyawa baharu'.

Tidak semua pesakit bertuah menerima organ baharu kerana bukan semua orang sanggup mendermakan organ mereka atau ahli keluarga yang sudah meninggal dunia.

Pengurus Klinikal, Pusat Sumber Transplan Kebangsaan (PSTK), Dr Diana Mohd Shah, berkata dalam kesedihan kerana kehilangan orang disayangi, masih ada ahli keluarga berhati mulia mendermakan organ orang yang disayangi sebagai 'penghargaan' terakhir untuk si mati.


PENGURUS Klinikal, Pusat Sumber Transplan Kebangsaan (PSTK), Dr Diana Mohd Shah. - Foto Owee Ah Chun

Pendermaan organ kata beliau, adalah sesuatu yang sangat indah yang mana ahli keluarga berniat baik menggantikan kesedihan sedang dirasai dengan sesuatu yang boleh dibanggakan termasuk juga oleh si mati.

Kerjasama daripada pelbagai agensi

"Ini adalah hasil peningkatan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menderma organ berbanding sedekad lalu yang mana tahap kesedaran masih rendah," katanya yang sentiasa bersedia 24 jam tanpa mengira waktu untuk mengambil organ di seluruh negara.

Apabila keluarga bersetuju menderma, pihak hospital akan memaklumkan kepada pasukan PSTK untuk mengambilnya secepat mungkin dengan menggunakan pengangkutan udara. Prosedur ini dilakukan dengan kerjasama agensi kerajaan seperti bomba, tentera udara atau penerbangan komersial dan pengangkutan darat.

Bukan mudah untuk mereka berdepan dengan keluarga yang sedang bersedih dan mengambil organ orang yang mereka sayangi.

Semuanya ini dilakukan dengan penuh hormat termasuk memastikan jenazah berada dalam keadaan baik selepas dibedah.


JUMLAH pesakit menunggu pendermaan organ setakat Ogos 2016 adalah 20,800 orang. - Foto hiasan

Maklum balas keluarga penderma

Arumugam Subramaniam, 54, sudah berikrar untuk mendermakan organ lebih 10 tahun lalu tetapi takdir menentukan beliau terlebih dahulu menguruskan pendermaan organ milik adiknya Nirmala, 38, yang disahkan mengalami kematian otak selepas terjatuh di tempat kerjanya di Kedah.

Baginya lebih baik organ adiknya didermakan kepada orang yang lebih memerlukan bagi membolehkan mereka menikmati peluang 'hidup' kali kedua.

"Naluri saya kuat mendorong supaya saya mendermakan organ adik dan terus menyatakan hasrat kepada pihak hospital di Kulim.


ARUMUGAM Subramaniam antara penderma yang sudah berikrar untuk mendermakan organ lebih 10 tahun lalu. - Foto Owee Ah Chun

"Pihak hospital membawa adik ke unit rawatan rapi bagi memastikan organnya terus berfungsi sehingga pembedahan dijalankan mengambil buah pinggang, kornea, injap jantung dan hatinya," katanya yang gembira kerana hasratnya itu tidak dihalang ibunya.

Beliau berkata, jenazah adiknya dikendalikan dengan cermat selepas pembedahan dan setiap organnya diedarkan kepada empat hospital berbeza.

Arumugam dapat menyaksikan petugas hospital membawa pergi organ adik kesayangannya di dalam peti sambil berdoa supaya pemberian itu memberikan kehidupan baharu kepada sesiapa yang menerimanya.

Harapan penerima

Selama 16 tahun berada di dalam senarai menunggu, Mohamed Esa Ahmad, 41, tidak pernah terfikir akan menerima buah pinggang baharu kerana sudah terbiasa dengan rutin berulang alik ke hospital.

Tahun lalu, beliau menerima khabar gembira bahawa ada penderma buah pinggang untuknya yang membuatkan jantungnya berdebar apabila membayangkan kehidupan baharu yang bakal dilalui sebagai seorang yang 'bebas' daripada penyakit itu.


SELEPAS menerima buah pinggang baharu, Mohamed Esa mengakui membuang air kecil adalah satu kenikmatan yang sekian lama tidak dirasainya sejak mengalami kegagalan buah pinggang. - Foto Owee Ah Chun

Bagaimanapun, disebabkan masalah teknikal, pembedahan tidak dapat dijalankan walaupun kali kedua beliau sudah masuk ke bilik pembedahan.

"Kali ketiga, khabar yang sama diberikan pada Jun tahun 2015 tetapi kali ini saya tidak meletakkan harapan sangat tetapi saya bersyukur akhirnya impian untuk hidup normal menjadi kenyataan.

"Saya tidak tahu siapa penderma buah pinggang tetapi ada dimaklumkan ia daripada seorang lelaki berbangsa Cina dari Negeri Sembilan," katanya yang kini rasa lebih sihat walaupun awalnya agak janggal kerana tidak lagi perlu bergegas ke hospital seperti selalu.

Selepas menerima buah pinggang baharu, Mohamed Esa mengakui membuang air kecil adalah satu kenikmatan yang sekian lama tidak dirasainya sejak mengalami kegagalan buah pinggang.

Bapa kepada tiga anak berusia 10 sehingga 15 tahun itu berkata, beliau bersyukur kerana berpeluang menjalani kehidupan kali kedua dan mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada keluarga pendermanya.

INFO:

* Jumlah pesakit menunggu pendermaan organ setakat Ogos 2016:

- 20,800 orang

- 20,790 adalah pesakit buah pinggang

* Seorang penderma boleh menderma:

Organ untuk lapan orang

- Buah pinggang

- Jantung

- Hati

- Paru-paru

* Tisu sehingga untuk 35 orang:

- Injap jantung

- Kornea mata

- Kulit

- Tulang

* Buah pinggang boleh bertahan sehingga 24 jam

* Jantung dan paru-paru boleh bertahan sehingga empat jam

*Berbincang dengan doktor atau pakar sekiranya berhajat untuk menderma organ bagi pendermaan hidup (menderma ketika masih hidup).

*Jumlah pengikrar untuk menderma organ sehingga Ogos 2016:

360,000

* Kadar kejayaan dengan organ baharu:

- 50-60 peratus

- Jantung 60 peratus

- Buah pinggang 80-90 peratus

DERMA organ, umpama memberi nyawa baharu. - Foto Ihsan Pembaca
TIDAK semua pesakit bertuah menerima organ baharu kerana bukan semua orang sanggup mendermakan organ mereka atau ahli keluarga yang sudah meninggal dunia. - Foto Ihsan Pembaca
DR Diana menyifatkan pendermaan organ adalah sesuatu yang sangat indah yang mana ahli keluarga berniat baik menggantikan kesedihan sedang dirasai dengan sesuatu yang boleh dibanggakan termasuk juga oleh si mati. - Foto Owee Ah Chun
Berita Harian X