Ahad, 6 November 2016 | 11:35am

E-Usahawan terbuka kepada belia luar bandar

RANAU: Belia di luar bandar digesa menceburi bidang keusahawanan berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk meneroka pasaran lebih luas hingga ke luar negara.

Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Siringan Gubat, berkata bidang keusahawanan era baharu atau e-Usahawan sejajar dengan pertumbuhan pesat ICT dalam urusan ekonomi dan perniagaan.

Katanya, bidang itu sentiasa terbuka untuk dijadikan kerjaya dan mampu menjana pendapatan lumayan.

"Belia yang mahu menjadi usahawan perlu bijak meluaskan pengetahuan dan kemahiran ICT untuk memajukan perniagaan menggunakan aplikasi seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp bagi mempromosi produk atau perniagaan.

"Pendedahan berhubung bantuan dan dana serta kaedah menggunakan aplikasi ICT boleh diperoleh menerusi seminar anjuran kementerian dan agensi berkaitan," katanya ketika merasmikan Seminar Keusahawanan  Belia sempena Karnival Keusahawanan Belia anjuran Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Paginatan dan Yayasan Sabah, di sini, hari ini.

Program yang dijayakan dengan kerjasama Persatuan Belia-Beliawanis Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan itu disertai kira-kira 100 peserta dari sekitar daerah ini.

Siringan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, berkata Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, adalah antara penyedia dana dan bantuan bagi membolehkan belia meneroka bidang e-Usahawan.

"Ini antara usaha kerajaan untuk membantu masyarakat perniagaan khususnya bakal usahawan belia untuk mendapatkan pekerjaan dan menjadikan perniagaan sebagai kerjaya pilihan," katanya.

Pada program itu, empat usahawan berjaya dari Ranau yang dijadikan ikon e-Usahawan berkongsi kejayaan iaitu pengusaha kerepek pisang dan ubi kayu, Noor Azyan Kaimin, 30; pengusaha halwa halia dan tuhau, Maslia Naim, 30; pengusaha inap desa, Rosipin Laiman, 37 dan pengusaha kraftangan, Jusnah Jinos, 37.

26 dibaca
Berita Harian X