Isnin, 7 November 2016 | 12:33am

Rezeki Diana dan Zamarul bertambah sejak rujuk

KUALA LUMPUR: Pernah melalui fasa getir dalam perkahwinan yang sudah tujuh tahun dibina, Diana Rafar mengakui dugaan yang menguji rumah tangganya dengan Zamarul Hisham, lebih setahun lalu, membentangkan hikmah tersendiri.

Diijabkabulkan pada 16 Mei 2009, pasangan itu berpisah pada 15 Januari 2015.

Namun, ikatan cinta yang masih utuh menemukan mereka semula apabila kembali bernikah pada 14 Mei tahun lalu. Lebih setahun membaja semula cinta yang pernah hambar, Diana bersyukur kerana kebahagiaan kembali berpihak kepada mereka sekeluarga.


DIANA Rafar dan suami, Zamarul Hisham. - Foto Faiz Anuar

Bagi Diana, anak tunggal mereka, Kashfi Haikal yang kini genap enam tahun juga menjadi antara faktor utama yang mendorongnya dan suami melupakan gelora yang pernah melanda..

"Di sebalik perpisahan itu, Tuhan membentangkan pelbagai hikmah untuk kami renungi. Tuhan menguji kami supaya saya dan suami lebih matang dalam merencana serta membina semula perjalanan rumah tangga.

"Alhamdulillah, selepas kembali bersama, rezeki kami sekeluarga tidak putus.

"Nama suami yang dulu agak suram kembali diperkatakan selepas membintangi drama Cinta Masam Manis yang disiarkan TV3. Ia sesuatu yang tidak pernah kami duga. Sejak nama suami kembali melonjak, kami banyak menerima komen positif peminat yang terbawa-bawa dengan watak yang dijayakannya," katanya kepada BH Plus.

Diana bersyukur bakat suaminya itu mula dihargai.

"Mereka menghargai bakatnya, malah tidak kurang ada wanita yang jatuh hati dengan karakter duda bernama Johan yang dilakonkan Zamarul. Mereka betul-betul terpengaruh dengan drama itu. Tempias itu turut saya rasai apabila ditawarkan menjadi duta produk.

gn4id:17209756

"Meskipun tidak lagi terlalu aktif dalam kerjaya seni, nama saya masih menjadi pilihan untuk menerima kepercayaan mereka. Syukur ketika di luar sana ramai bakat baharu yang sedang mencipta nama, mereka tetap melihat dan mengutamakan saya," katanya.

Tiada rasa cemburu

Diana atau nama sebenarnya, Adiana Rafar, 34, yang pernah membintangi filem Susuk itu juga tidak menduga, Cinta Masam Manis turut membuatnya akrab dengan pelakon yang menjadi gandingan suaminya dalam drama itu iaitu Izara Aishah.

"Kami tidak pernah rapat, tetapi ketika penggambaran drama itu berlangsung, saya dan Izara tiba-tiba akrab. Sikapnya yang begitu menghormati orang membuatkan saya selesa. Cara Izara itu mungkin untuk mengelak daripada timbul perasaan kurang selesa ketika di lokasi penggambaran," katanya.

Diana mengaku memberi restu kepada Izara untuk berlakon bersama suami termasuk menghidupkan babak romantis.

"Saya tiada masalah kerana memahami kerjaya suami, malah memberi 'restu' untuk mereka bergandingan. Saya tahu Izara gusar terpaksa melakonkan babak romantis bersama suami.

"Saya berfikiran terbuka, malah tiada cemburu kerana semua itu hanya lakonan.

"Saya sering memberikannya kata semangat untuk melakukan yang terbaik. Lama-kelamaan kami menjadi semakin akrab apabila sering berhubung di telefon dan sesekali akan keluar bersantai," kata Diana yang berhijab sejak setahun lalu.


PELAKON, Izara Aishah. - Foto Aziah Azmee

Kash mahu adik

Mengenai kehidupan berumah tangga, Diana dan Zamarul, baru-baru ini meraikan ulang tahun keenam anak mereka di sebuah restoran makanan segera popular di Shah Alam.

Kashfi atau mesra disapa Kash genap usia itu pada 29 Oktober lalu.

Pada sambutan hari jadi itu, lebih 300 tetamu diraikan. Diana memberitahu, Kashfi sudah mula menyatakan keinginannya untuk mempunyai adik.

"Kash pernah bertanya bila dia akan mendapat adik. Disebabkan terlalu teringin mempunyai adik, Kash akan pegang perut saya seolah-olah saya sedang mengandung. Dia akan berdialog dan bertanya bila adiknya itu akan keluar melihat dunia. Telatahnya itu membuat saya tertawa.

"Ada ketika, saya agak tertekan kerana semua itu urusan Allah. Secara peribadi, saya dan suami tidak pernah merancang untuk menimang cahaya mata. Lagipun ketika ini, suami masih sibuk dengan kerjaya seninya. Tetapi jika ada rezeki, pastinya kami tidak menolak," katanya.

371 dibaca
DIANA (kanan), Zamarul (dua dari kanan), bersama anaknya, Kashfi Haiqal Zamarul (kiri), Izzat Haiqal Zamarul (dua kiri), selepas kes rujuk semula di Mahkamah Syariah Shah Alam. - Foto Faiz Anuar
Berita Harian X