Isnin, 7 November 2016 | 3:36pm

GPMS serah sumbangan RM378,400 kepada 10 pelajar perubatan Mesir


PRESIDEN Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd Isa. - Foto Saddam Yusoff

KUALA LUMPUR: Seramai 10 pelajar perubatan di Mesir yang mempunyai tunggakan yuran pengajian menjadi penerima pertama bantuan Tabung Pendidikan Pelajar Malaysia GPMS berjumlah RM378,400.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd Isa, berkata 10 pelajar yang kebanyakannya tahun akhir masing-masing menerima bantuan antara AS$4,000-AS$22,000 (RM16,840-RM92,622) bagi menyelesaikan sebahagian daripada tunggakan yuran mereka.

Katanya, bantuan kewangan itu akan diserahkan dalam bentuk draf bank yang akan dibayar terus kepada universiti masing-masing dalam tempoh 14 hari ini selepas pihaknya menerima dokumen lengkap yang diperlukan antaranya surat tawaran belajar dan penyata tunggakan yuran dari universiti.

"Setakat ini dana tabung kita berjumlah RM4 juta. Kita sebenarnya memerlukan RM20 juta untuk membantu 600 pelajar Sains Kesihatan di Mesir yang mempunyai masalah tunggakan yuran ini.

"Justeru, GPMS menyeru kepada orang ramai supaya terus menyumbang kepada tabung ini bagi membantu lebih ramai pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media dalam majlis penyerahan surat tawaran bantuan kepada 10 pelajar berkenaan di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, salah seorang penerima bantuan, Shazwanie Azeera Soberi, 26, berkata tanpa bantuan tabung itu, beliau mungkin terpaksa melupakan hasratnya untuk menjadi doktor.

Katanya, beliau mempunyai hutang yuran pengajian berjumlah AS$22,000 menyebabkan sijil pengajiannya ditahan pihak universiti selepas menamatkan pengajian awal tahun ini.

"Saya pernah merancang untuk bekerja dan mengumpul duit bagi melunaskan hutang itu. Malah, pernah terfikir untuk melupakan saja niat menjadi doktor mengenangkan jumlah hutang yang terlalu tinggi.

"Tetapi kini saya bersyukur kerana terpilih untuk menerima bantuan tabung ini dan boleh meneruskan kembali hasrat untuk menjadi doktor," katanya.

Berita Harian X