Isnin, 7 November 2016 | 3:58pm

Kelindan lori didakwa bunuh remaja


S Pandiaraj dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh selepas didakwa memukul seorang remaja lelaki berusia 21 tahun sehingga maut, bulan lalu. - Foto Rasul Azli Samad

AYER KEROH: Seorang kelindan lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas didakwa memukul seorang remaja lelaki berusia 21 tahun sehingga maut, bulan lalu.

S Pandiaraj, 27, dari Desa Lembah Pantai Utama, Ampang, Selangor, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Analia Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama dua lagi suspek yang masih bebas didakwa membunuh S Ammos Devaprraven, 21, di hadapan sebuah pasar mini di Jalan Tun Ali, di sini, pada jam 4.30 pagi, 23 Oktober lalu.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan pada prosiding hari ini, sebelum mahkamah menetapkan 19 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Nora Yaacob yang turut memohon tiada jaminan diberikan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

11 dibaca
Berita Harian X