Isnin, 7 November 2016 | 6:45pm

3,000 usahawan diraikan dalam Daya e-Usahawan

faris.fuad


PENGARAH Pembangunan Belia MDEC, Sumitra Nair. - Foto Rosela Ismail

 

KUALA LUMPUR: Seramai 3,000 usahawan akan diraikan dalam persidangan Daya e-Usahawan anjuran Perbadanan Pembangunan Multimedia Malaysia (MDEC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), esok dan Rabu.

Pengarah Pembangunan Belia MDEC, Sumitra Nair, berkata usahawan yang menjana pendapatan tinggi menjadi salah satu kriteria penting mereka dipilih bagi menyertai persidangan kali ini.

"Untuk esok kita menjemput mentor seperti usahawan dan selebriti tempatan seperti pengasas Jenama D'Herbs, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman; pengasas tudung Naelofar Hijab, Noor Neelofa Mohd Noor dan pereka fesyen terkenal, Rizalman Ibrahim.

"Mereka hadir bagi berkongsi pengalaman selain membuka minda warga tempatan untuk berfikir meneroka peluang baru dan menjana pendapatan sampingan.

"Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan merasmikan persidangan ini disusuli majlis makan malam di mana kita akan memberi pengiktirafan kepada peserta menerusi penganugerahan pelajar terbaik, usahawan mikro terbaik dan pusat bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) terbaik," katanya ketika ditemui BH di sini.

Sumitra berkata, kursus, latihan praktikal dan pemantauan berterusan oleh pihak MDEC sepanjang tahun berupaya meningkatkan bakat dan kreativiti peserta sebagai usahawan, sekali gus membantu meningkatkan peluang pekerjaan serta bidang keusahawanan tempatan.

"Kita juga menggalakkan lebih banyak pemain eksport di dalam industri ini menjadikan e-Dagang sebagai platform perdagangan mereka kerana ia memberi manfaat lebih besar kepada pertumbuhan perniagaan dan ekonomi negara," katanya.

 

Pembekal tinted kereta dan bangunan, Umarul Ariffin berkata, program Daya e-Usahawan memberi pendedahan kepada teknik mikro-perusahaan yang efektif seterusnya membolehkan usahawan meningkatkan kecekapan dan produktiviti perniagaan melalui kaedah digital.

"Saya menyokong penuh program seperti ini dan berharap lebih ramai akan terbabit dalam e-dagang untuk menerokai industri masa hadapan," katanya.

Sementara itu, ejen minyak wangi De'Xandra, Muhammad Akmal Danial Shahril Dani, berkata MDeC membantu usahawan mengembangkan ekonomi digital berasaskan inovasi dengan lebih luas dan pelbagai.

"Program itu memberi saya keyakinan untuk memasarkan produk ke luar negara menggunakan kemudahan atas talian atau perkhidmatan digital

"Ia akan menambah keuntungan penjualan produk, selain membantu meringankan bebanan perbelanjaan harian," katanya.

Peniaga barangan makanan dan kosmetik, Nurulhuda Mohamed Radzi, berkata program ini memberikan penekanan terhadap keusahawan digital iaitu perniagaan menggunakan medium media sosial seperti Facebook dan Instagram, teknik pemasaran dan perkhidmatan 

"Memasarkan produk di laman maya bukanlah sekadar mencipta laman sesawang, tetapi peniaga perlu faham kehendak dan citarasa pengguna yang gemar membuat pembelian di internet," katanya.

 

Berita Harian X