Selasa, 8 November 2016 | 3:17pm

Level Up KL 2016 disertai 700 peserta


LAMAN sesawang Level Up KL 2016 di http://levelup.asia/

KUALA LUMPUR: Kira-kira 700 peserta menyertai program Level Up KL 2016, antara persidangan permainan video utama di Asia Tenggara anjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), di sini, yang memasuki hari ketiga, hari ini.

Persidangan itu diadakan pada 5 dan 6 November serta 8 dan 9 November.

Ketua Pegawai MDEC, Datuk Yasmin Mahmood, berkata persidangan yang diadakan kali kedua itu menampilkan wakil luar negara bagi berkongsi perspektif perniagaan, pandangan teknikal dan perkongsian masa depan dunia digital permainan.

"Menerusi persidangan itu, kami menjemput pakar, mentor dan pelabur industri kreatif untuk merangsang perbualan dan perkongsian pengetahuan yang akan meletakkan peserta di landasan betul untuk membina ekosistem permainan bertaraf dunia.

"MDEC juga memberi penekanan kepada transformasi negara, didorong oleh ekonomi digital termasuk dunia video permainan.

"Ia dilihat sebagai industri kreatif, selain membolehkan peserta mendapat manfaat besar jika mereka menyedari potensi penuh yang dilaksanakan MDEC ini," katanya ketika ditemui media selepas majlis perasmian persidangan itu di sini, hari ini.

 

 

Berita Harian X