Selasa, 8 November 2016 | 5:40pm

50 pelajar MRSM Baling keracunan makanan

BALING: Seramai 50 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Baling mengalami keracunan makanan dipercayai selepas menikmati makanan tengah hari di kantin sekolah itu, di sini, semalam.

Semua pelajar berusia 13 hingga 18 tahun itu menikmati hidangan ayam goreng, daging masak hitam, sambal, nasi briyani dan nasi putih sebelum mengalami cirit-birit, muntah, loya dan pening pada jam 2.30 petang.

Seorang pelajar, Muhammad Aliff Md Fadel, 13, berkata dia makan nasi briyani dengan lauk daging masak hitam dan hanya minum air suam sebelum mengalami cirit-birit sebanyak 15 kali.

"Saya tidak memaklumkan kepada guru sehinggalah melihat rakan saya turut mengalami sakit perut dan muntah.

"Susulan kejadian itu, cikgu meminta pelajar yang sakit perut berkumpul di surau sekolah sebelum kami semua dihantar ke Hospital Baling," katanya ketika ditemui di Hospital Baling, di sini, hari ini.

Seorang lagi pelajar, Tengku Nuqman Affiq Tengku Norman, 13, berkata dia mula sakit perut pada sebelah petang selepas makan ayam goreng dan sambal.

"Saya kemudian mengadu kepada cikgu sebelum dibawa ke surau untuk direkod sebagai senarai yang sakit sebelum dihantar ke hospital bersama rakan yang lain," katanya.

Sementara itu, jurucakap hospital berkata, seramai dua pelajar lelaki dan 20 perempuan ditahan untuk dipantau tahap kesihatan mereka manakala yang lain dirawat sebagai pesakit luar.

Pelajar yang ditahan kebanyakannya didapati mengalami kekurangan air dalam badan kerana cirit-birit tetapi buat masa ini mereka semakin stabil," katanya.

15 dibaca
Berita Harian X