Selasa, 8 November 2016 | 10:20pm

Tukang potong rumput maut dirempuh kereta


SEORANG pemotong rumput maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika sedang menyeberang jalan untuk memotong rumput di Kilometer 4.3 Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS) arah ke Seremban, petang tadi.

KAJANG: Seorang pemotong rumput maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika sedang menyeberang jalan untuk memotong rumput di Kilometer 4.3 Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS) arah ke Seremban, petang tadi.

Dalam kemalangan pada jam 2.25 petang itu, Md Nobi Hossain, 40, maut di tempat kejadian akibat cedera parah pada kepala, kaki dan badan akibat dirempuh sebuah Perodua Kenari dipandu seorang wanita.

Pegawai Turus Trafik Selangor, Deputi Superintendan Sahimi Husin, berkata ketika kejadian, mangsa sedang cuba menyeberang dari arah kiri ke kanan lebuh raya untuk memotong rumput sebelum dirempuh kenderaan terbabit.

"Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak kira-kira 40 meter di laluan paling kanan iaitu di laluan laju.

"Pemandu Perodua Kenari pula cedera di kepala dan kaki dan dikejarkan dengan ambulans ke Hospital Kajang bagi mendapatkan rawatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, lokasi kemalangan adalah jalan lurus dan ketika kejadian, cuaca dalam keadaan baik. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

18 dibaca
Berita Harian X