Rabu, 9 November 2016 | 12:06am

Dira, Helmi sudah enam bulan tidak sebumbung

SELEPAS beberapa bulan gosip mengatakan dirinya sudah pun bercerai dengan pengarah fotografi, Helmi Yusof, diperkatakan, akhirnya bekas pelakon, Dira Abu Zahar, tampil membuka mulut mengenai perkara terbabit.

Julai lalu, khabar angin mula bertebaran kononnya bintang filem Lari dan Longkai ini sudah berpisah dengan lelaki yang dikahwininya sejak 11 November 2011 itu pada awal Ramadan tahun ini.

Begitupun, Dira yang mula berjinak-jinak dalam bidang pengarahan pernah mengatakan ia hanya perselisihan faham biasa, selain mengambil pendekatan untuk mendiamkan diri daripada mengulas lanjut berhubung gosip terbabit.


DIRA dan suaminya, Helmi Yusof pada majlis nikah mereka yang lalu.

Sumber yang dipercayai pula memberitahu BH, Helmi dikatakan sudah pun melafazkan talak ke atas Dira, sekali gus mengiyakan gosip perpisahan pasangan terbabit pada awal bulan puasa lalu.

Dalam pertemuan bersama BH, baru-baru ini, Dira atau nama sebenarnya Khaidiriah Abu Zahar turut tampil mengesahkan, beliau dan Helmy sudah hampir enam bulan tidak tinggal sebumbung.

"Doakan yang baik-baik saja untuk saya dan dirinya. Begitupun, memang sejak Jun lalu kami sudah tidak lagi tinggal bersama. Malah, tiada komunikasi langsung di antara kami hingga ke saat ini.

"Baik saya mahupun dia, masing-masing meneruskan kerja kami seperti biasa. Saya sendiri ketika ini hanya menunggu keputusan rasmi kerana ia turut membabitkan pihak mahkamah. Ada perkara yang belum diselesaikan," kata Dira.


DIRA Abu Zahar.

Wanita berkenaan bagaimanapun menafikan masalah rumah tangga yang dihadapi mereka disebabkan kehadiran orang ketiga.

"Seperti saya katakan sebelum ini, ia memang berkait rapat dengan salah faham yang berpanjangan. Sampai satu tahap, ia tersimpul rapi dan tidak boleh dileraikan lagi. Ibaratnya, kalau ditarik atau direntap maka terputuslah ia.

"Ia juga berbalik kepada soal jangkaan dan pengharapan dalam sesebuah perkahwinan," kata Dira.

Bukan menyalahkan sebelah pihak, malah Dira mengaku, sepanjang tempoh menjadi isteri kepada Helmi, beliau sendiri tidak melakukan yang terbaik kepada insan bergelar suami.

"Pendek kata, ia salah kedua-dua pihak kerana sibuk dengan kerja masing-masing. Dalam hidup berumah tangga, ada elemen yang perlu dijaga, tetapi akhirnya ia jadi tidak terkawal.


DIRA bersama anak hasil perkahwinan pertamanya.

"Contohnya, kami patut pergi bercuti atau meluangkan masa bersama-sama. Namun sebaliknya kami banyak meluangkan masa dengan sekumpulan kawan. Kami umpamanya meminati motosikal berkuasa tinggi dan melakukan hobi itu bersama kawan yang turut mempunyai minat sama.

"Saya juga berperwatakan kasar, lasak dan seperti berkuasa. Mungkin faktor itu juga membuatkan dirinya kurang selesa," katanya.

Dira menekankan, beliau perlu menjelaskan situasi sebenar dirinya dan Helmi tidak lagi tinggal bersama supaya ia tak mengundang salah tanggap mahupun fitnah.

"Saya bekerja dalam bidang yang memerlukan pergaulan dengan ramai orang. Saya tidak mahu orang fikir bukan-bukan dan salah sangka apabila melihat saya bersama lelaki lain, contohnya ketika waktu kerja mahupun bersantai sesama kawan," katanya.


DIRA turut meminati motor berkuasa besar.

Pada 2006, Dira pernah mendirikan rumah tangga bersama Tengku Shafiz-Rullah Tengku Mohd Shahid, namun mereka berpisah enam tahun lalu. Hasil perkongsian hidup bersama lelaki itu, Dira dikurniakan cahaya mata perempuan, Tengku Anggun Deandra yang kini berusia sembilan tahun.

Bersama Helmy pula, Dira tidak mempunyai rezeki untuk menimang cahaya mata. Beliau begitupun dilaporkan pernah mengalami keguguran pada penghujung 2013 ketika hamil enam minggu.

DIRA yang mula berjinak-jinak dalam bidang pengarahan.
DIRA atau nama sebenarnya Khaidiriah Abu Zahar.
Berita Harian X