Rabu, 9 November 2016 | 9:18am

Calon SPM maut dilanggar lari


SEORANG calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut dalam kejadian langgar lari di Jalan Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang, petang semalam.

PELABUHAN KLANG: Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut dalam kejadian langgar lari di Jalan Pelabuhan Barat, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa, Muhammad Fikri Hariri @ Herry, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Indah, meninggal dunia di tempat kejadian selepas parah akibat diseret sebuah treler.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Alzafny Ahmad, berkata berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dari arah Pelabuhan Klang menuju ke Klang cuba memotong sebuah kenderaan lain dari arah sama.

Katanya, mangsa yang dipercayai bergerak di atas garisan pembahagi jalan antara kenderaan bergesel dengan kenderaan lain ketika cuba memotong.

"Mangsa terjatuh ke bahagian kiri jalan sebelum dilanggar dan diseret sebuah treler yang dipandu seorang lelaki yang masih belum dikenal pasti.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk proses bedah siasat," katanya.

Alzafny berkata, setakat ini pemandu treler yang terbabit dalam kemalangan berkenaan masih belum membuat laporan polis dan dipercayai melarikan diri.

"Orang ramai atau saksi kemalangan yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) AKta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Berita Harian X