Rabu, 9 November 2016 | 1:25pm

Malaysia, Iran kongsi banyak persamaan

BAGI memulakan kata-kata di sini, saya ingin menyuarakan rasa penghargaan tidak terhingga kepada usaha dilakukan oleh semua pihak terbabit dalam memperluaskan hubungan mesra di antara dua negara bersaudara, iaitu Iran dan Malaysia.

Saya juga mahu mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan rasa hormat kami yang amat mendalam kepada bapa kemerdekaan Malaysia, Allahyarham Tunku Abdul Rahman.

Ketika mengibarkan bendera kebangsaan Malaysia, beliau tidak hanya cuba membentuk sebuah negara berasaskan kepada aspek politik tetapi membuka era baru Islam dengan menekankan kepada kehidupan bersama secara aman dengan penganut agama lain selain sikap bersederhana agenda utamanya dalam tadbir urus masyarakat.

Kini, selepas lebih separuh abad, usahanya membuahkan hasil. Sebagai utusan diplomatik Iran, dengan kerajaannya memerintah dengan menggunakan slogan kesederhanaan dan menghormati negara serta kerajaan lain, saya ingin menyampaikan hasrat Kerajaan Iran untuk mempromosi persahabatan dan memperluas persaudaraan dari segi hubungan di antara dua negara.

Saya amat gembira kerana dapat memulakan misi di sebuah negara yang sudah dikunjungi orang dari Iran (Parsi) sejak beberapa abad lalu. Selepas kedatangan Islam, warga Iran yang sudah lama ada sejarah dan tamadun kebudayaan gemilang, memainkan peranan penting dalam menyebarkan agama yang benar ini ke Asia Timur.

Berdasarkan dokumen sejarah dalam beberapa buku ditulis cendekiawan di rantau ini, termasuk Hamzah Fansuri dan Syamm-

suddin Sumatrani, unsur mistik dan syair Parsi sudah diterjemah ke dalam bahasa Melayu. Selain itu, wujud kesan kehadiran orang Parsi di rantau itu turut ditemui beberapa abad lalu membabitkan aktiviti perdagangan di Lembah Bujang di sebelah utara dan Melaka, di selatan.

Seorang penyair terkenal Parsi, Sa'adi Shirazi (1210-1291 Selepas Masehi), mengarang satu syair yang berbunyi: "ze taj malek zadehi dar melakh shabi la'li oftad dar sanglakh", merujuk kepada satu kejadian iaitu sebentuk batu permata milik seorang putera raja Melaka jatuh terkena batu dan di akhirnya penyair itu memberi satu nasihat kepadanya.

Merujuk kepada syair berkenaan, sekumpulan penyelidik kesusasteraan Parsi percaya, perkataan 'Melakh' yang disebut dalam syair itu merujuk kepada Melaka yang kini diberi status bandar bersejarah di Malaysia. Ramai dalam kalangan masyarakat tahu bahawa Kesultanan Melaka sering menemui peniaga Parsi untuk berdagang pada satu era lampau.

Apa yang menarik ialah impak kesusasteraan Parsi memberi kesan mendalam terhadap bahasa Melayu yang indah hingga ada banyak perkataan adalah berdasarkan bahasa Parsi. Malah, lebih menarik lagi ialah banyak perkataan dalam urus niaga dan takrif perniagaan Melayu adalah daripada bahasa Parsi seperti saudagar, dewan, daftar, nakhoda dan bandar.

Sebagai contoh, ayat Parsi ini: "nakhodayi pahlawan be sudagari az pars be Melaka shod," boleh diterjemah ke dalam bahasa Melayu setiap patah perkataannya yang membawa maksud: "sudah tiba nakhoda yang pahlawan dan saudagar dari Parsi ke Melaka".

Capai kemajuan semua bidang

Jadi, pada hari ini dengan mengambil kira suasana terbaru, Kerajaan Iran dan Malaysia sedang berusaha menggerakkan semula apa yang sudah wujud dalam sejarah kedua-dua negara. Selepas termeterainya persetujuan dalam isu nuklear di antara Iran dan negara kuasa besar dunia, wujud potensi besar bagi kami untuk mencapai kemajuan dalam semua bidang. Iran memiliki keupayaan besar untuk berurus niaga dan boleh memberi peluang unik kepada peniaga dan aktivis ekonomi dalam perdagangan.

Disebabkan kedudukan Iran dari segi geografi yang amat baik selain memiliki sumber tenaga yang besar, Iran boleh menjadi pusat serantau perdagangan Malaysia di Asia Barat, Asia Tengah dan Eropah.

Di sebaliknya pula, atas kedudukan anda dari segi geografi selain persamaan budaya dan agama, Malaysia boleh menjadi pusat serantau Iran di ASEAN atau Asia Pasifik. Inilah yang diharapkan daripada lawatan dan perundingan baru-baru ini antara Presiden Hassan Rouhani dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kedua-dua pemimpin bersetuju untuk memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk sains, pelancongan, minyak, gas dan petrokimia, membina lebuh raya dan industri pemotoran. Hubungan yang semakin erat di antara dua negara tentu akhirnya membawa kepada kedudukan yang lebih kuat dari segi posisi Islam khususnya di pentas antarabangsa.

Promosi kesederhanaan

Kedua-dua negara juga memegang pendirian yang sama dalam usaha memerangi keganasan dan mempromosi kesederhanaan. Saya berpendapat, semua mazhab dalam Islam adalah sama dan menganjurkan persaudaraan. Malangnya, apa yang kita saksikan pada masa ini di beberapa tempat di dunia ialah pemikiran mengikut aliran yang menolak hak orang lain untuk hidup. Daesh adalah contoh terburuk kerana mengorbankan orang yang berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah dan Syiah.

Di dunia hari ini, ketika pelampau melancarkan perang, adalah lebih bijak dan penting bagi mereka yang berhaluan sederhana untuk bersatu. Cara terbaik memerangi ekstremisme ialah mengelak daripada berpecah-belah dan menggalakkan persaudaraan.

Ungkapan 'bersatu kita teguh, bercerai kita roboh' dengan tepat menunjukkan nilai perpaduan dalam bahasa Melayu.

Sebagai duta di Malaysia, saya mahu memperkuatkan lagi unsur persamaan ini dan amat menghargai kerjasama dan persaudaraan yang diberi kepada kerajaan dan rakyat Malaysia.

Penulis ialah Duta Iran ke Malaysia

Berita Harian X