Rabu, 9 November 2016 | 5:10pm

Mekarsari 'anak pertama' kami - Haziq


HAZIQ sokong isteri bergelar usahawan kosmetik dengan menghasilkan jenama pewarna bibir, Mekarsari.

KUALA LUMPUR: Penyampai radio HotFM, Haziq , 26, memberikan sokongan kepada isterinya, Ayunda Putri Mekarsari untuk bergelar usahawan kosmetik dengan menghasilkan jenama pewarna bibir sebagai produk keluaran pertama syarikat.

Haziq atau nama penuhnya Muhammad Haziq Irfan Mohd Hussni, berkata, kesungguhan isterinya meneroka cabang perniagaan baharu ini jelas terserlah dengan kemunculan gincu Mekarsari yang kini diedarkan menerusi Instagram.

"Sebenarnya perancangan menghasilkan produk kosmetik sudah diluahkan sebelum kami mendirikan rumah tangga lagi. Sebagai wanita, dia yakin produk kecantikan sentiasa disukai ramai.

"Istimewanya, selain menggunakan bahan alami, 'anak pertama' kami ini juga dinamakan bersempena namanya, Mekarsari dan buat permulaan dikeluarkan dalam dua warna, merah jambu dan 'nude'," katanya kepada BH Online.

Akuinya lagi, walaupun bergelar suri rumah, isterinya tetap memastikan urusan pemasaran serta pengedaran Mekarsari dilakukan secara sistematik dan berjadual supaya ia sampai kepada pelanggan seperti dijanjikan.


HAZIQ perkenal produk kosmetik, gincu Mekarsari.

"Saya bersyukur dipertemukan jodoh dengan wanita sepertinya. Dia adalah tulang belakang saya yang sentiasa mencari jalan untuk menambah pendapatan. Usaha ini juga adalah untuk pelaburan masa depan.

"Bersandarkan perancangannya, dua rona lain akan diperkenalkan pada masa akan datang. Mekarsari juga bakal tampil bersama salap bibir aneka perisa," katanya lagi.

Terdahulu, penyampai radio segmen pagi itu mendirikan rumah tangga bersama gadis pilihan hatinya yang juga kelahiran Medan, Indonesia itu pada 15 Julai lalu.

Beliau yang turut bergelar pengacara program Nasi Lemak Kopi O itu turut menjelaskan produk keluaran syarikat isterinya tidak hanya terhad kepada satu jantina saja dan juga memperluaskan pasaran.

Selain itu, Haziq turut berkongsi perasaan teruja apabila diberi kepercayaan mengacarakan segmen belakang tabir menjelang Anugerah Skrin pada 18 November ini.


HAZIQ dan isteri, Ayunda Putri Mekarsari.

78 dibaca
Berita Harian X