Rabu, 9 November 2016 | 6:47pm

Mangsa kes pembunuhan kejam dikenal pasti

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohad Idris Samsuri (kanan) menunjukan gambar mangsa pembunuhan kejam dan kerat, Omar Miskam pada sidang Media di IPD Tangkak, Ledang. - Foto Syarafiq Abd Samad

MUAR: Mangsa pembunuhan kejam yang mayatnya dikerat beberapa bahagian Ahad lalu, dikenali sebagai Omar Miskam, 49, berasal dari Kampung Sungai Alam, Panchor, Pagoh.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohad Idris Samsuri, berkata mangsa adalah seorang pemandu jengkaut dan sudah berkahwin.

Katanya, mangsa adalah kenalan kepada suspek utama yang juga remaja orang kelainan upaya (OKU) berusia 19 tahun.

"Mangsa yang sudah beristeri bekerja sebagai seorang pemandu jengkaut di sekitar daerah ini dan mangsa dipercayai ditetak di kepala menggunakan parang sebelum mayatnya dikerat.

"Bedah siasat juga mendapati mangsa dikerat lebih sepuluh bahagian termasuk kepala, kedua-dua kaki dan tangan, perut dan beberapa anggota badan lain," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak, hari ini.

Sementara itu, Mohad Idris turut memaklumkan seramai tiga suspek termasuk seorang wanita berusia antara 19 hingga 56 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Berita Harian X