Khamis, 10 November 2016 | 11:11pm
Pengunjung yang hadir pada majlis Malaysia Autoshow 2016 di Mines International Exhibition and Convention Centre (MIECC). - Foto Muhd Asyraf Sawal

150 pempamer sertai Malaysia Autoshow 2016


Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (kiri) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia, Datuk M Madani Sahari (dua dari kiri) dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Katsuto Hayashi (kanan) melihat ketika memperkenalkan kereta Honda terbaru BR-V pada majlis Malaysia Autoshow 2016 di Mines International Exhibition and Convention Centre (MIECC). - Foto Muhd Asyraf Sawal

SERI KEMBANGAN: Sebanyak 150 syarikat automotif tempatan dan asing menyertai Pameran Auto Malaysia 2016 yang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC) Seri Kembangan, bermula semalam hingga Ahad ini.

Selain pameran pelbagai model utama, acara tahunan utama anjuran Institut Automotif Malaysia (MAI) dengan kerjasama Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dan AUTO PRO itu, turut menampilkan pelbagai acara menarik seperti pengenalan model baharu dan kereta penumpang elektrik pertama Malaysia hasil kerjasama Malaysia-China iaitu Amber Dual Sdn Bhd and BAIC China.

Antara model baharu diperkenalkan ialah kenderaan pelbagai guna (MPV) Kia Carnival baharu, Proton Iriz Edisi Terhad dan prototaip crossover serba baharu Honda, BR-V dengan tujuh tempat duduk.

Pameran dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mercedes-Benz dan Volvo Cars Malaysia juga menawarkan demonstrasi dan pengalaman menaiki model kenderaan plug-in elektrik hibrid (PHEV) yang dipasang di negara ini.   

Acara tahun ini sedikit berbeza berbanding sebelumnya kerana ia turut menempatkan astaka khas bagi berkongsi visi untuk mewujudkan kesedaran bagi membantu Malaysia menjadi pusat serantau bagi pengeluaran kenderaan cekap tenaga (EEV).   

Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Datuk Mohamad Madani Sahari, berkata Pameran Auto Malaysia 2016 dijangka menjana jualan kenderaan sehingga RM40 juta dalam tempoh empat hari penganjurannya.   

"Kita jangkakan jualan berjumlah RM35 juta hingga RM40 juta dapat diraih dalam acara ini. Ia rendah sedikit berbanding RM53.9 juta yang dicatatkan pada tahun 2015.   

"Penyusutan ini disebabkan keadaan ekonomi semasa yang mana permintaan kenderaan perlahan seperti mana kejatuhan 15 peratus dalam jualan keseluruhan industri (TIV) dalam tempoh lapan bulan tahun ini," katanya kepada media selepas pelancaran Pameran Auto Malaysia 2016 di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan kehadiran kira-kira 100,000 pengunjung ke acara berkenaan berbanding 85,000 orang yang dicatatkan tahun lalu.   

"Ia menawarkan pelbagai acara dan promosi menarik termasuk cabutan bertuah kepada mereka yang membeli kereta, selain sesi pandu uji yang ditawarkan pengeluar kenderaan tempatan dan asing," katanya.‎‎

Info: Pameran Auto Malaysia 2016
* 10-13 November 2016* 10 pagi - 9 malam
* Berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC)
* Tiket masuk RM10 (dewasa), pelajar sekolah dengan uniform atau pelajar IPT dengan kad pelajar (percuma)
* Tawar hadiah bernilai RM200,000 termasuk 3 motosikal elektrik Treeletrik T-70
* Pengunjung yang membuat tempahan kereta berpeluang memenangi Kia Rio X 1.4 Sedan bernilai RM78,000 menerusi peraduan "Buy a Car, Win a Car" tajaan Naza Kia Malaysia.

Berita Harian X