Jumaat, 11 November 2016 | 3:01pm

Penyelidik UKM hasil pengecas sel fuel metanol


PROF Ir Dr Siti Kartom Kamarudin bergambar bersama pelajar-pelajar pada Syarahan Perdana Profesor oleh Prof Ir Dr Siti Kartom Kamarudin dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina di Bangunan Canselori, Universiti Kebangsaan Malaysia. - Foto Shiraz Yasmine Ali

BANGI: Sekumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya mencipta beberapa versi prototaip alat pengecas untuk peranti mudah alih tanpa menggunakan sumber elektrik grid.

Ketua Penyelidiknya, Prof Dr Siti Kartom Kamarudin, berkata alat pengecas itu ialah alternatif daripada sumber keterbaharuan yang sesuai untuk menyokong teknologi bateri.

"Inovasi ini dibangunkan berdasarkan penyelidikan saya iaitu Sel Fuel Metanol Langsung (DMFC), peranti yang mampu menukar tenaga kimia kepada elektrik menggunakan metanol dan udara sebagai bahan suapan.

"Produk ini juga mesra alam kerana hanya menggunakan 17 peratus metanol, malah selamat digunakan ketika dalam penerbangan," katanya selepas menyampaikan Syarahan Perdana Sempena Pengukuhan Jawatan Profesor di UKM, pagi tadi.

Yang turut hadir ialah Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali.

Beliau berkata, kelebihan DMFC berbanding bateri biasa termasuk tidak perlu dicas dan boleh digunakan dengan hanya melakukan pengisian semula fuel metanol yang murah dan mudah didapati.

"DMFC menghasilkan kuasa yang menyamai bateri AA atau AAA dan sesuai menjadi sumber kuasa lampu, jam, pengecas bateri, pembantu peribadi digital (PDA) dan pemain Mp3.

"Sehubungan itu, alat ini amat berguna di tempat yang tidak mempunyai sumber elektrik, contohnya di pedalaman atau di lokasi yang ditimpa bencana serta terputus bekalan elektrik terutama membabitkan aspek telekomunikasi," katanya.

Berita Harian X