Jumaat, 11 November 2016 | 3:36pm

Mayat nelayan lemas di Sungai Pinang ditemui

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Chukai mengangkat mayat mangsa lemas, Zakari Kasim yang ditemui orang awam kira-kira 100 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh. - Foto Shamsudin Husin
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat Chukai mengangkat mayat mangsa lemas, Zakari Kasim yang ditemui orang awam kira-kira 100 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh. - Foto Shamsudin Husin

CHUKAI: Mayat nelayan yang lemas selepas terjatuh dari bot di Sungai Pinang di sini, pagi kelmarin, ditemui terapung di tepi sungai, jam 9.30 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Yahaya Hanapi, berkata mayat mangsa yang masih lengkap berpakaian ditemui orang awam kira-kira 100 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh di sungai itu.

Dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, mangsa Zakari Kasim, 52, dikatakan mahu mengalih bot gentian kaca miliknya dari tambatan di tebing sungai ke bahagian hulu sungai melalui muka sauk empangan Syarikat Air Terengganu (SATU).

Ketika melalui permukaan sauk itu, kipas bot dipandu mangsa dikatakan terkena konkrit simen empangan menyebabkan botnya rosak dan hanyut dipukul arus deras sebelum dia terjatuh dari botnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Normansah Din ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan penemuan mayat mangsa dan berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kemaman untuk bedah siasat.

Berita Harian X