Jumaat, 11 November 2016 | 5:21pm

Tol elektronik sepenuhnya di Kedah & Pulau Pinang


PLUS akan melaksanakan sistem kutipan tol elektronik sepenuhnya di Kedah, Pulau Pinang bermula 30 November ini. - Foto hiasan

ALOR SETAR: Pengguna Lebuh Raya Utara Selatan di Kedah dan Pulau Pinang akan menikmati perjalanan lebih lancar apabila Syarikat Plus Malaysia Berhad (PLUS) melaksanakan sistem kutipan tol elektronik sepenuhnya untuk laluan itu, bermula 30 November ini.

Kutipan tol elektronik itu meliputi sembilan Plaza Tol iaitu tujuh di Kedah meliputi Hutan Kampung, Alor Setar Utara, Alor Setar Selatan, Gurun, Pendang, Sungai Petani Utara dan Sungai Petani Selatan, selain dua di Pulau Pinang iaitu Bertam dan Sungai Dua.

Pengarah Urusannya, Datuk Noorizah Abd Hamid, berkata PLUS kini dalam proses persediaan 100 peratus untuk mengendalikan sistem itu yang mana semua pengguna lebuh raya berkenaan diwajibkan menggunakan kad PLUSMiles, Touch n Go atau SmartTAG.

"Untuk tujuan itu, saya sarankan pengguna menggunakan kad PLUSMiles yang mana selain melancarkan perjalanan semua kenderaan, pengguna juga akan menerima manfaat melalui rebat ditawarkan sempena musim perayaan dan promosi tertentu.

"Bagi PLUS, kita akan sediakan lorong khas untuk memudahkan pengguna mendapatkan kad terbabit termasuk menambah nilai kad elektronik Touch n Go dan PLUSMiles di lorong paling kiri di semua plaza tol terbabit," katanya kepada pemberita selepas majlis gotong-royong sempena Hari Komuniti PLUS di Kampung Tok Pasai, Kuala Kedah di sini, hari ini.

Pada majlis itu lebih 1,000 warga kerja PLUS menjayakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat di 16 lokasi secara serentak di seluruh negara semalam.

Berita Harian X