Jumaat, 11 November 2016 | 6:34pm

Ahli Parlimen Sungai Besar dilantik Pengerusi ITBM


Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) berkuat kuasa 9 November menggantikan Datuk Dr Shaharuddin Md Salleh.

Pelantikan untuk dua tahun dibuat oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid melalui surat perlantikan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan.

Kementerian Pendidikan dalam laman webnya berkata, Budiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang ialah Pengerusi SLR Institute yang memfokuskan kajian terhadap kepimpinan, penyelidikan politik dan strategik.

"Beliau juga Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pelajaran MARA, Ahli Lembaga Pengarah Maktab Koperasi Malaysia, Pengerusi Yayasan Harapan Budi dan Pengerusi Jaringan Pemidato Malaysia.

"Budiman yang berusia 44 tahun dan anak kelahiran Sungai Besar itu juga ialah graduan sarjana komunikasi massa dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)," kata kenyataan itu.

Sementara itu, ITBM dalam kenyataan medianya berkata, pihaknya mengalu-alukan perlantikan Budiman yang disifatkan sebagai ahli politik yang aktif dan progresif dalam pelbagai gerak kerja serta aktiviti membabitkan kepimpinan, intelektual dan perjuangan orang muda.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khair Ngadiron menyifatkan Budiman sebagai pengerusi paling muda dalam sejarah penubuhan ITBM, pembabitan dan hubungan eratnya dengan generasi muda bersesuaian dalam era yang mencabar dalam bidang penerbitan dan penterjemahan kini.

"Keperibadian, idea dan kudrat beliau begitu diperlukan dalam meneruskan misi ITBM bagi menjadi institusi yang unggul dalam perkhidmatan penterjemahan dan penerbitan buku di negara ini.

"Dalam bidang berkaitan fungsi organisasi ITBM, iaitu penterjemahan dan penerbitan buku, latar belakang beliau sebagai penulis buku begitu diyakini dapat lebih memacu gerak kerja ITBM dalam menggiatkan tugasan penterjemahan dan memperbanyak penerbitan buku," katanya.

ITBM juga berharap pelantikan itu membolehkan aspirasi dan harapan yang mewakili golongan penulis serta penterjemah tanah air dapat terus disuarakan dalam Parlimen.

Senada dengan Mohd Khair ialah Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad yang melahirkan keyakinan terhadap kemampuan Budiman menerajui ITBM berdasarkan latar belakang pendidikan, kepimpinan dan keaktifan menggunakan politik sebagai wadah gerak kerja perjuangan intelektual serta pembangunan orang muda.

"PENA berharap Budiman dapat bersama-sama menyuarakan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan yang menetapkan bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan sejak tahun 1957.

"Pihak kami berbesar hati sekiranya Budiman dapat mengepalai urusan merealisasikan penubuhan Yayasan Penulis Malaysia yang memberikan penekanan pada kebajikan penulis dalam konteks kebajikan peribadi ataupun penataan, pengkaryaan, dan penerbitan," katanya.

Berita Harian X