
KUALA LUMPUR: Lembaga Peperiksaan (LP) membuat laporan polis berhubung kenyataan palsu mengenai kebocoran kertas Sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sehingga viral Rabu lalu.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata laporan polis dibuat bagi memastikan imej Kementerian Pendidikan Malaysia tidak tercemar berikutan tindakan individu menyebarkan berita palsu kononnya berlaku kebocoran kertas Sejarah sehingga calon perlu menduduki semula kertas itu.
"Saya dimaklumkan Lembaga Peperiksaan sudah membuat laporan polis di Pusat Siasatan dan Tindakbalas Siber Polis, Kuala Lumpur berhubung kes pembohongan kertas Sejarah #SPM2016 yang bocor.
"Laporan polis sudah dibuat dan akan dipanjangkan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Kita tunggu hasil siasatan pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan menerusi Facebook.