Jumaat, 11 November 2016 | 11:25pm

120 sertai Kejohanan Golf Amal Piala Laksamana


Pengerusi JGTA, Kol (B) Mohd Jamal Salleh (tengah) bersama Bendehari, Framond Fong (kanan) dan ahli jawatankuasa, Roslan Saydeh menunjukkan poster Kejohanan Golf Amal Piala Pusingan Laksamana di The ELS Club Desaru-The Ocean, Kota Tinggi. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Seramai 120 pemain golf termasuk dari Singapura dijangka berentap dalam Kejohanan Golf Amal Piala Pusingan Laksamana di The ELS Club Desaru-The Ocean, Kota Tinggi, dekat sini, pada 26 November ini.

Kejohanan julung kali anjuran Persatuan Golf Pelancongan Johor (JGTA) itu dijangka dirasmikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, manakala Media Prima Berhad sebagai media rasmi kejohanan berkenaan.

Pengerusi JGTA, Kol (B) Mohd Jamal Salleh, berkata segala sumbangan yang diterima daripada pelbagai pihak bagi menjayakan kejohanan berkenaan termasuk yuran penyertaan bernilai kira-kira RM1.5 juta akan disumbangkan kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (TLJCF).

"Buat pertama kali JGTA menganjurkan kejohanan ini yang antara lain bertujuan mengumpul dana bagi TLJCF yang ditubuhkan Ogos lalu. Ia bagi membantu pesakit kurang berkemampuan membiayai kos rawatan kanser.

"Kita mendapat sokongan yang cukup baik daripada pelbagai pihak bagi penganjuran kejohanan ini, malah lebih ramai pemain golf turut menunjukkan minat untuk menyertai pertandingan ini, namun pada kali ini ia terhad kepada 120 pemain saja," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Berita Harian X