Sabtu, 12 November 2016 | 12:04am

Waspada simptom demam menggigil tengah malam, sesak nafas

DEMAM disusuli tubuh menggigil waktu tengah malam kerana kedinginan adalah antara petanda paru-paru dijangkiti kuman atau lebih dikenali sebagai pneumonia.

Gejala lain yang biasa dialami pesakit pneumonia adalah batuk yang mengeluarkan kahak yang kadangkala berwarna kuning atau hijau serta mengalami sesak nafas.

Jangkitan kuman menyebabkan pundi atau alveoli di dalam paru-paru yang berfungsi menyerap oksigen dipenuhi cecair yang menyukarkan pesakit untuk bernafas.


JANGKITAN kuman menyebabkan pundi atau alveoli di dalam paru-paru yang berfungsi menyerap oksigen dipenuhi cecair yang menyukarkan pesakit untuk bernafas.

Pakar Perunding Respiratori, Pantai Hospital Kuala Lumpur, Dr Helmy Haja Mydin, berkata organisma yang paling kerap menjadi punca pneumonia adalah Streptoccocus pneumoniae iaitu sebanyak 50 peratus dan 20 peratus lagi disebabkan Haemophilus influenzae.

Beliau berkata, kanak-kanak muda, pesakit tua, perokok, pesakit yang mempunyai penyakit kronik lain seperti kencing manis adalah golongan paling berisiko mengalami pneumonia.

Membunuh empat juta setiap tahun

Secara global, katanya pneumonia dijangka akan dihadapi oleh kira-kira 450 juta pesakit dan membunuh empat juta orang setiap tahun.

"Dengan rawatan sewajarnya pesakit akan pulih dalam masa tiga hingga tujuh hari sekiranya jangkitan yang dialami tidak terlalu teruk.

"Sekiranya jangkitan lebih serius, pneumonia boleh membawa kepada penyakit paru-paru bernanah dan bagi pesakit yang tenat, mereka perlu diberi bantuan pernafasan dan malangnya ada yang maut," katanya.

Katanya, rawatan biasanya dengan mendapatkan rehat secukupnya, pengambilan ubat antibiotik, ubat mengurangkan demam seperti paracetamol serta kemasukan air menerusi salur darah (IV).

"Sesetengah pesakit mungkin memerlukan oksigen dalam tempoh diperlukan serta bantuan fisioterapi untuk membantu mereka mengeluarkan kahak.

"Pesakit yang tenat memerlukan alat bantuan pernafasan bagi membantu mereka mendapatkan oksigen," katanya.


PAKAR Perunding Respiratori, Hospital Pantai, Kuala Lumpur, Dr Helmy Haja Mydin

Kanak-kanak, orang tua berisiko tinggi diserang

Kadar kematian akibat pneumonia boleh mencecah sehingga 10 peratus disebabkan kekurangan oksigen, jangkitan kuman yang terlalu kuat untuk sistem pertahanan badan atau disebabkan organ lain tidak cukup kuat.

Kebanyakan pulih sepenuhnya tetapi bagi sesetengah pesakit, terutama yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan warga tua, pneumonia boleh mengurangkan kekuatan paru-paru mereka.

Paru-paru yang lemah akan mendedahkan pesakit sekali lagi kepada serangan pneumonia pada masa depan.

Bagaimanapun, terdapat vaksin bagi melawan kuman Streptococcus pneumoniae bagi mengurangkan risiko mendapat pneumonia bagi kanak-kanak dan orang dewasa.

Vaksin terbukti mampu mengurangkan kadar kematian akibat penyakit ini.


PESAKIT pneumonia biasanya mengalami gejala batuk yang mengeluarkan kahak kadangkala berwarna kuning atau hijau serta mengalami sesak nafas. - Foto hiasan

INFO: Gejala pneumonia
- Batuk.
- Demam.
- Bernafas termengah mengah.
- Menggigil dan gigil bergeser akibat kedinginan.
- Sakit dada yang semakin sakit apabila batuk atau ketika menarik nafas.
- Denyut jantung laju.
- Merasa letih atau sangat lemah.
- Loya dan muntah.
- Cirit birit.

# Bagaimana pneumonia bermula:
- Apabila kuman masuk ke dalam paru-paru semasa bernafas.
- Lebih cenderung dialami selepas mengalami demam dan selesema.
- Mengalami penyakit kronik dalam jangka masa panjang seperti asma, jantung, barah atau diabetes.

# Adakah paru-paru berair sama dengan pneumonia?
- Paru-paru berair berlaku akibat cecair berlebihan di dalam paru-paru
- Berpunca daripada penyakit jantung.

# Langkah mencegah pneumonia:
- Berhenti merokok.
- Elakkan diri daripada terdedah kepada menghidu asap perokok.
- Prihatin dengan keadaan persekitaran tercemar dengan melindungi diri.
- Senaman dapat meningkatkan stamina dan kekuatan paru-paru.

# Tiada bukti vitamin tambahan dapat menguatkan paru-paru.

9521 dibaca
Berita Harian X