Ahad, 13 November 2016 | 2:41pm

Bolt teringin jadi pemain bola sepak selepas bersara

LONDON: Usain Bolt merancang untuk menjalani latihan bersama kelab Jerman, Borussia Dortmund dalam cubaannya menjadi pemain bola sepak selepas bersara daripada olahraga.

Bolt, pemegang rekod dalam acara pecut 100 meter (m), 200m akan bertanding buat kali terakhir dalam kariernya di London pada musim panas depan di Kejuaraan Dunia.

Bintang pecut kelahiran Jamaica itu sudah menghubungi pengendali Dortmund, Thomas Tuchel, menurut akhbar Guardian dan berkata: "Lihat apa yang akan berlaku" selepas menjalani latihan bersama kelab Bundesliga itu.

"Kami benar-benar mengadakan perbincangan," kata Bolt yang mencecah usia 31 tahun pada Ogos depan.

Bolt adalah peminat berprofil tinggi kelab Inggeris, Manchester United dan mengakui dia masih bermimpi untuk menjadi pemain kelab itu.

"Bagi saya, jika saya dapat bermain untuk Manchester United, ia bagai mimpi jadi kenyataan," katanya. "Ya, ia akan menjadi sesuatu yang epik."

Pelari kelahiran Kingston, Bolt adalah pemenang sembilan pingat emas di Olimpik dan mencatat rekod mengagumkan menyapu bersih ketiga-tiga acara 100m, 200m and 4x100m untuk tiga edisi temasya sukan terbesar dunia itu sejak 2008.

Tahun lalu, Bolt menyuarakan keinginannya untuk mengadakan ujian bersama United dalam satu temuramah bersama MUTV dan yakin dia mempunyai kemampuan yang cukup untuk diberikan kontrak. - Agensi

Berita Harian X