Isnin, 14 November 2016 | 2:11am

Goodyear lancar tayar berprestasi tinggi terbaharu

WRANGLER Triplemax dibuat khusus untuk SUV sederhana. - Foto Halim Salleh

GOODYEAR melancarkan tayar berprestasi tinggi terbaharunya, Wrangler Triplemax khusus bagi segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) bersaiz sederhana di pasaran tempatan.

Dengan ciri-ciri teknikal yang inovatif dan lebih baik berbanding keluaran terdahulu, Wrangler Triplemax menampilkan tiga ciri khas iaitu kecekapan brek secara optimum, sistem brek yang lebih pendek di atas permukaan basah dan ketahanan ancaman objek di jalan raya, sekali gus menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih selamat bagi seisi keluarga.

Pengarah Urusan Goodyear Malaysia, Ben Hoge, berkata pasaran bagi segmen SUV bersaiz sederhana sentiasa meningkat dan dijangka terus mencatatkan pertumbuhan positif dengan kadar pertumbuhan tahunan lebih 12 peratus antara 2012 hingga 2020.

Katanya, ia dibuktikan lagi dengan pertumbuhan segmen SUV di Malaysia sebanyak 23 peratus sehingga Jun 2016.

"Bagi memenuhi keperluan pelanggan dalam inovasi tayar, Wrangler Triplemax baharu menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih santai dalam apa jua situasi ketika di atas jalan raya.

"Goodyear dikenali dalam mencipta budaya bagi pemanduan yang lebih selamat supaya terus kekal berdaya saing dan kompetitif berbanding pesaing lain.

"Cuaca yang tidak menentu dan permukaan jalan raya yang pelbagai di Malaysia menyebabkan kami komited untuk mengeluarkan produk yang mampu memenuhi semua situasi," katanya pada majlis pelancaran Goodyear Wrangler Triplemax di Subang Jaya, baru-baru ini.

Wrangler Triplemax dibangunkan dengan teknologi hydrogrip yang menggunakan blok atau bunga yang lebih besar, cengkaman dan prestasi brek yang lebih baik di atas permukaan basah atau kering serta perlindungan rim yang optimum.

Di samping itu, ia juga dibangunkan dengan permukaan tayar yang lebih luas dan rongga yang dioptimumkan dengan 5 Rib Tread.

Goodyear Wrangler Triplemax dijual pada harga runcit antara RM443.72 dan RM675.22 termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan ditawarkan dalam saiz 16 inci hingga 18 inci.

Ia boleh didapati di semua pusat penjagaan tayar Goodyear dan pusat servis Servitekar serta pengedar sah di seluruh negara bermula sekarang.

Info

  • Goodyear Tire&Rubber mula membeli getah dari Malaysia pada 1908
  • Mula menjual produk Goodyear di pasaran tempatan pada 1929
  • Goodyear Malaysia ditubuhkan dengan membuka kilang pengeluaran di Shah Alam, Selangor pada 1972
Berita Harian X