Isnin, 14 November 2016 | 6:57pm

UEM Group pilih Oracle ERP Cloud mantapkan transformasi digital

KUALA LUMPUR: UEM Group Bhd, peneraju kumpulan infrastruktur dan perkhidmatan berasaskan kejuruteraan Malaysia, memilih Oracle Enterprise Resource Planning (ERP) Cloud untuk menyokong pelaksanaan transformasi digitalnya.

Menerusi Oracle ERP Cloud itu, syarikat UEM Group akan merevolusikan keupayaan teknologi untuk menyelaras dan meningkatkan proses perniagaan mereka, mencapai tahap produktiviti serta ketelusan lebih tinggi, selain meningkatkan kerjasama antara syarikat kumpulan itu.

Dengan lebih 14,000 pekerja dan beroperasi di beberapa negara di seluruh dunia, UEM Group memerlukan platform bersepadu ERP Cloud bagi menguruskan dengan lebih baik semua maklumat dan menampung keperluan pihak berkepentingan dalaman serta luaran.

Kumpulan itu sudah menjalankan proses penilaian komprehensif yang berlangsung selama 18 bulan bagi mengenal pasti teknologi yang terbaik untuk menyokong revolusi digital mereka.

Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif UEM Group, Datuk Izzaddin Idris, berkata dengan Oracle ERP Cloud, pihaknya berhasrat bagi menyampaikan satu platform ERP tunggal dan seluruh kumpulan serta memperkemas proses perniagaannya untuk manfaat kakitangan, pelanggan, dan rakan.

"Penyelesaian awan Oracle yang mantap dan selamat ini akan membantu kami meningkatkan produktiviti dan ketelusan kerja. Ia juga menambah baik proses kami, dan seterusnya meningkatkan kerjasama seluruh syarikat UEM Group," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden Aplikasi Cloud ERP/SCM, Oracle Asia Pacific, Jasbir Singh, berkata pihaknya amat gembira untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan digital penting seumpama itu dengan kumpulan terkemuka seperti UEM Group.

Beliau berkata, perisian Oracle sebagai Penyelesaian Perkhidmatan (SaaS) direka untuk membolehkan transformasi digital yang diperlukan oleh kebanyakan perusahaan seperti UEM Group, bagi menyokong pertumbuhan pesat, meningkatkan kecekapan melalui kerjasama dan menetapkan budaya membuat keputusan dipacu wawasan.

"Hari ini, ERP Cloud moden dan aplikasi industri lain adalah tulang belakang kepada banyak organisasi, terutama dalam menguruskan perakaunan, pemerolehan dan projek merentasi perusahaan," katanya.

INFO

  • UEM Group beroperasi di pasaran baharu muncul dan matang
  • Tumpuan dalam empat perniagaan utama - Lebuh raya, Perbandaran & Pembangunan Hartanah, Kejuruteraan & Pembinaan dan Aset & Pengurusan Fasiliti
  • UEM Group adalah anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd
Berita Harian X