Selasa, 15 November 2016 | 4:44pm

BSN akan agih RM6 bilion Skim Perumahan Belia BSN

KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) menyasar mengagih pinjaman RM6 bilion menerusi Skim Perumahan Belia BSN menjelang Julai tahun depan.

Dilancarkan pada Julai 2015, skim itu bertujuan membantu pasangan berumah tangga berumur antara 25 tahun hingga 40 tahun dengan pendapatan isi rumah tidak melebihi RM10,000 sebulan memiliki kediaman pertama.

Timbalan Ketua Eksekutif Perbankan Runcitnya, Frederick Siew Kin Meng, berkata skim itu menerima 4,000 permohonan bernilai hampir RM1 bilion setakat Oktober tahun ini dengan kadar pinjaman diluluskan sebanyak 50 peratus.

"Kita sudah meluluskan 200 kes bernilai RM500 juta. Terkini, kita sudah mengagihkan sebanyak RM200 juta," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara BSN dan pemaju hartanah Oriental Interest Bhd (OIB) di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi OIB, Datuk Lim Teong Kiat; Ketua Pegawai Operasi Bahagian Pemasarannya, Beh Suan Sim; dan Naib Presiden Kanan merangkap Ketua Pengedaran BSN, Akhsan Zaini.

Skim Perumahan Belia BSN ditawarkan kepada 20,000 pemohon pertama yang layak bagi membiayai pembelian hartanah yang sudah siap, di pertengahan pembinaan atau 'sub sale'.

Di bawah skim itu, BSN menyediakan pinjaman perumahan daripada RM100,000 hingga RM500,000 dengan tempoh bayaran balik selama 35 tahun atau usia 66 tahun yang mana dulu.

Kedua-dua pinjaman perumahan konvensional dan Islam disediakan di bawah skim itu dengan marjin pembiayaan sehingga 100 peratus daripada harga belian.

Pemohon yang berjaya juga akan menerima pembiayaan tambahan sehingga lima peratus daripada harga belian untuk menampung kos Gadai Janji Berkurangan Tempoh (MRTA) atau Gadai Janji Mengurangkan Tempoh Takaful (MRTT).

Selain itu, bantuan tambahan ditawarkan Kerajaan sebanyak RM200 sebulan bagi tempoh dua tahun pertama daripada keluaran pertama untuk membantu pasangan membayar balik pinjaman bulanan mereka.

Tiong Kiat berkata, pembeli rumah pertama berhadapan beberapa cabaran pemilikan hartanah termasuk peningkatan berterusan harga hartanah, kelulusan pinjaman sangat bergantung kepada paras pendapatan, dan kesukaran menyediakan wang pendahuluan 10 peratus.

"Di sinilah Skim Perumahan Belia BSN membantu pembeli muda untuk pembelian hartanah pertama mereka," katanya.

MoU yang dimeterai antara kedua pihak itu bertujuan membolehkan Skim Perumahan Belia BSN ditawarkan kepada mereka yang layak membeli kondominium Seroja Hills Fasa 2 yang dilancarkan OIB pada majlis sama.

Seroja Hills Fasa 2 terletak di Bandar Baru Salak Tinggi menawarkan 256 unit kondominium dengan keluasan binaan 1,096 kaki persegi untuk unit tiga bilik tidur dua bilik air yang ditawarkan pada harga mampu milik bermula RM320,000 seunit.

"Direka untuk kehidupan moden dilengkapi kemudahan kolam renang, padang futsal, dewan yoga dan gimnasium, dewan serba guna, perpustakaan, taman permainan kanak-kanak dan kawalan keselamatan 24 jam, Seroja Hills adalah pilihan sesuai bagi pasangan muda untuk memulakan kehidupan baru," kata Suan Sim.

Beliau berkata, Seroja Hills Fasa 1 menyaksikan kadar pembelian 80 peratus sejak dilancarkan Jun lalu, sekali gus menggambarkan wujud permintaan tinggi bagi kediaman mampu miliki dan berkualiti di Salak Tinggi.

Berita Harian X