Rabu, 16 November 2016 | 1:11pm

30 peratus penagih berulang adalah remaja, wanita

KUALA LUMPUR: Sebanyak 30 peratus penagih di negara ini adalah penagih berulang membabitkan remaja dan wanita.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Masir Kujat berkata, berdasarkan maklumat yang disalurkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), peratusan itu adalah tinggi dan membimbangkan.

Justeru, katanya, Kementerian Dalam Negeri kini lebih agresif menjalankan pelbagai program pencegahan termasuk kempen melalui media massa dan media sosial.

"AADK kini menumpukan usaha mendekati bekas penagih melalui proses khusus untuk memastikan mereka tidak kembali menagih," katanya menjawab soalan tambahan, Datuk Dr Noraini Ahmad (BN- Parit Sulong), di Dewan Rakyat, hari ini.

Masir menjelaskan kebanyakan penagih terjebak dalam dadah adalah kerana pengaruh rakan sebaya, perasaan ingin tahu dan mencari keseronokan di kelab malam.

"Bagi wanita pula ramai yang terjebak dengan syabu dan dadah jenis 'ice' kerana mereka hendak kuruskan badan," katanya.

Menjawab soalan lisan Noraini mengenai jumlah wanita dan remaja terbabit dengan penyalahgunaan dadah, Masir berkata, berdasarkan statistik AADK seramai 4,908 wanita terbabit dengan kes dadah dari 2009 hingga Ogos tahun ini.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, jumlah wanita terbabit penagihan dadah paling tinggi pada tahun 2011 iaitu 1,013 orang .

Beliau menjelaskan jumlah penagih berusia 18 tahun dan ke bawah antara 2009 hingga Ogos tahun ini adalah 5,883.

"Berdasarkan angka itu kita lihat ada aliran turun naik, dan KDN melalui AADK akan meneruskan aktiviti pencegahan dengan turun padang ke sekolah dan tempat komuniti yang berisiko terdedah kepada penagihan dadah ini," katanya.

Mengulas lanjut, Masir turut menjelaskan yang kerajaan merancang beberapa langkah pada peringkat awal supaya tidak terjebak dengan kes dadah.

"Antaranya, kerajaan sudah melancarkan program 'Sayang Hidup Elak Derita' di peringkat menengah, program tingkatkan kesedaran diri, didik belia Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dengan gaya hidup sihat serta membantu orang lain dan banyak lagi," katanya.

Berita Harian X