Khamis, 17 November 2016 | 3:15pm

Sun Wealth sasar premium RM100 juta


KETUA Pegawai Eksekutif, Perbankan Pengguna Kumpulan, CIMB Bank, Samir Gupta (dua dari kiri) bersama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Sun Life Malaysia, Raymond Lew (dua dari kanan), Ketua Pegawai Risiko, Sun Life Malaysia, Martin Fortier (kanan) dan Ketua, Pengurusan Kekayaan dan Segmen, CIMB Bank, Gary Wong, semasa pelancaran terkini pelan simpanan insurans CIMB Bank dan Sun Life Malaysia di Premiera Hotel, Kuala Lumpur. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

KUALA LUMPUR: CIMB Bank Bhd (CIMB Bank) dan rakan insuransnya, Sun Life Malaysia Assurance Bh d (Sun Life Malaysia), memperkenalkan pelan insurans terkini, Sun Wealth dengan sasaran premium RM100 juta pada tahun depan.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Sun Life Malaysia, Raymond Lew, berkata sasaran itu bakal dipacu oleh penyertaan pemegang polisi baharu yang kini memilih untuk memiliki insurans di tengah-tengah persekitaran ekonomi yang mencabar.

"Kita sudah membuat pra pelancaran Sun Wealth sejak empat bulan lalu dan berjaya mengumpul 700 pelanggan membabitkan jumlah premium sekitar RM21 juta.

"Untuk tahun ini, kita menyasar untuk meraih premium mencecah RM30 juta dan RM100 juta tahun depan membabitkan kira-kira 2,000 pemegang polisi," katanya kepada media selepas pelancaran Sun Wealth di sini, hari ini.

Sun Wealth dilancarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Konsumer Kumpulan CIMB, Samir Gupta; Ketua Pegawai Risiko Sun Life Malaysia, Martin Fortier; dan Ketua Pengurusan Kekayaan CIMB Bank, Gary Yong

Sun Wealth adalah pelan simpanan insurans pembayaran terhad terbaharu yang menggabungkan perlindungan dengan jaminan manfaat kepada pemegang polisi.

Ia menawarkan pelan insurans hayat unik yang menyediakan jaminan perlindungan kekayaan daripada premium asas, selain menawarkan potensi pertumbuhan menerusi pulangan pelaburan.

Sun Wealth menawarkan pelanggan tempoh pembayaran premium fleksibel iaitu tiga, lima atau lapan tahun, bergantung kepada keperluan.

Sebagai contoh, pilihan pelan '3 Pay 15 Term' yang membolehkan pelanggan membayar premium hanya tiga tahun tetapi menikmati perlindungan dan manfaat tambahan untuk tempoh 15 tahun.

Pelan berkenaan juga tidak memerlukan penaja jamin atau pemeriksaan kesihatan bagi semua permohonan membabitkan premium tahunan sehingga RM350,000.

‎Raymond berkata, Sun Life Malaysia akan memperkenalkan dua atau tiga produk baharu tahun depan termasuk pelan asas takaful, produk khusus untuk Bumiputera, produk insurans hayat dan kemalangan serta pelan persaraan.

"2016 adalah tahun mencabar kepada industri insurans dan tahun depan juga situasi sama dijangka terus kekal. Namun, kita mendapat manfaat di atas ketidaktentuan ekonomi.

"Rakyat Malaysia memilih untuk memiliki insurans ketika keadaan mencabar dan trend ini terus meningkat," katanya.

Info:

Sun Wealth

*‎Pelan insurans berkenaan dibangunkan secara eksklusif untuk CIMB dan Sun Life Malaysia

* Tawar jaminan manfaat hidup; manfaat matang; perlindungan kematian dan hilang upaya menyeluruh dan kekal

* Tiga pelan pilihan iaitu 3 Pay 15 Term; 5 Pay 20 Term; dan 8 Pay 25 Term

Berita Harian X