Khamis, 17 November 2016 | 3:23pm

2 nelayan lemas selepas bot karam

MAYAT seorang daripada dua nelayan ditemui selepas hilang di Kuala Sungai Tuaran. - Foto ihsan Bomba
MAYAT seorang daripada dua nelayan ditemui selepas hilang di Kuala Sungai Tuaran. - Foto ihsan Bomba

TUARAN: Dua nelayan yang hilang selepas bot dinaiki mereka karam Muara Sungai Shahbandar, dekat sini, pagi tadi, ditemui terdampar dan sudah meninggal dunia di pesisir pantai di Kuala Sungai Tuaran, tengah hari tadi.

Mayat Mohd Sukrie Hassan, 27, dan Hadi Jarin, 25, ditemui oleh orang awam pada jam 12.38 tengah hari, manakala seorang lagi rakan mereka dikenali Mohamad Norhisyam, 30-an, ditemui selamat.

Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Khatizah Rahaban, berkata berdasarkan maklumat orang awam, kejadian berlaku jam 10.30 pagi apabila bot nelayan berkenaan terbalik dan karam dipukul ombak.

Katanya, bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.14 pagi sebelum menghantar 12 anggota bersama sebuah jentera, tiga kenderaan utiliti dan sebuah bot ke lokasi untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Bomba melakukan operasi pencarian sekitar lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang sebelum ditemui orang awam di pesisir pantai dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya di sini, sebentar tadi.

Berita Harian X