Khamis, 4 Disember 2014 | 10:11am
KEADAAN jentera pelumba F1 Perancis, Jules Bianchi selepas berdepan kemalangan di Grand Prix Jepun. - Foto EPA
KEADAAN jentera pelumba F1 Perancis, Jules Bianchi selepas berdepan kemalangan di Grand Prix Jepun. - Foto EPA
HOSPITAL Saint Roch, lokasi di mana pelumba F1 Perancis, Jules Bianchi sedang dirawat. - Foto EPA
HOSPITAL Saint Roch, lokasi di mana pelumba F1 Perancis, Jules Bianchi sedang dirawat. - Foto EPA

F1: Bianchi tidak cukup perlahan - Laporan FIA

DOHA: Jules Bianchi memandu terlalu laju apabila gagal mengawal jenteranya dan berdepan insiden ngeri di Grand Prix Jepun, menurut laporan mengenai kemalangan itu yang dikeluarkan FIA, semalam.

Pelumba pasukan Marussia F1 berusia 25 tahun itu parah selepas melanggar kren pengangkut ketika perlumbaan di Litar Suzuka yang berlangsung dalam keadaan basah pada 5 Oktober lepas.

Kren pengangkut kenderaan yang dilanggar ketika itu sedang mengalihkan jentera pelumba pasukan Sauber, Adrian Sutil yang terkandas.

Seorang daripada 10 panel yang diberikan tugas oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) untuk menganalisis laporan 356 muka surat itu menyatakan: "Bianchi tidak cukup perlahan untuk mengelak hilang kawalan pada lokasi yang sama di atas litar seperti Sutil."

Laporan itu yang dikumpul bersama beberapa pemilik pasukan F1 antaranya, Ross Brawn dan bekas juara Emerson Fitipaldi, mendapati kelajuan adalah antara penyebab utama menyumbang kepada kemalangan dialami Bianchi yang melanggar kren pada kelajuan 210 kilometer sejam.

Punca lain termasuk air di atas litar yang mengurangkan geseran di pusingan tujuh, proses mengalihkan jentera Sutil dan kelajuan Bianchi dan terlebih memutar stering.

Keadaan Bianchi ketika ini boleh digambarkan "kritikal namun stabil" dan berada di hospital di Nice, Perancis.

Kemalangan yang menimpa Bianchi turut memaksa FIA meminda sistem keselamatannya dan sudah diuji pada tiga perlumbaan terakhir musim ini. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X