Jumaat, 18 November 2016 | 6:51pm

Sultan Johor hadiahkan Piala Pusingan Laksamana kepada JGTA


SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menghadiahkan Piala Pusingan Laksamana kepada Pengerusi Penganjur Kejohanan Golf Amal Piala Pusingan Laksamana, Tan Sri Esa Mohamad (kanan) untuk dijadikan acara tahunan bagi meningkatkan sumbangan terkumpul dalam Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor, di Istana Bukit Serene. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, berkenan menghadiahkan Piala Pusingan Laksamana kepada Persatuan Golf Pelancongan Johor (JGTA) untuk dijadikan sebagai acara tahunan.

Sultan Ibrahim bertitah, penganjuran berprestij Kejohanan Golf Amal Piala Pusingan Laksamana dapat meningkatkan sumbangan terkumpul untuk Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (TLJCF).

"Ini adalah acara amal dan penganjurannya dapat meningkatkan jumlah sumbangan dalam TLJCF. Jika kita mahu meningkatkan sumbangan, tidak perlu acara atau majlis makan malam kecil-kecilan, tetapi terus lakukan acara yang terbaik.

"Saya hadiahkan piala ini kepada kelab (JGTA). Ini hadiah saya kepada kelab," titah Baginda ketika majlis memperkenalkan Piala Pusingan Laksamana di Istana Bukit Serene di sini, hari ini.

Piala seberat 14 kilogram dengan nilai RM411,322 (75,000 Pound) itu ditempah khas dari sebuah syarikat pembuat piala terkemuka di England. Piala buatan tangan itu diperbuat daripada perak campuran padu sebagai bahan asas yang disadur dengan emas 24-karat selain dihiasi dengan batu permata.

"Saya berpuas hati dengan bentuk piala ini. Ia menarik kerana dibuat oleh satu daripada syarikat terbaik di dunia," titah Sultan Ibrahim.

Berita Harian X