Sabtu, 19 November 2016 | 1:52pm

Perjuangan mantapkan jenama Mak Cun terjawab

ERMA Fatimah dan Umie Aida.

KUALA LUMPUR: Kejayaan Mak Cun merangkul trofi Drama Komedi Bersiri Terbaik, Anugerah Skrin (ASK ) 2016, manakala pengarahnya, Erma Fatima dijulang sebagai Pelakon Komedi Terbaik membuktikan karya garapannya itu bukan komedi kosong.

Bagi Erma, kejayaan Mak Cun juga bertitik tolak daripada perjuangan panjang yang hanya akan tersingkap dan difahami ramai suatu hari nanti.

Berterima kasih kepada TV3 yang sentiasa memberi ruang dan peluang untuk membina karya sejak tahun 1991, Erma bertekad untuk menjadikan Mak Cun sebagai jenama yang lebih bermakna pada tahun depan.

"Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada Allah atas kurniaan-Nya untuk segala usaha ini. Saya dedikasikan trofi kemenangan ini kepada semua pihak yang menjayakan Mak Cun, terutama barisan pelakon dan kru. Begitu juga kepada semua yang menyayangi dan meminati Mak Cun.

"Tanpa sokongan kalian, karya yang saya hasilkan ini tiada nilainya," kata Erma menerusi catatannya di laman Instagram ketika mengulas kejayaan drama rantaian itu pada kemuncak ASK 2016 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), malam tadi.

Sementara itu, adik Erma, Datin Seri Umie Aida yang juga bintang utama Mak Cun menyifatkan kejayaan drama terbabit adalah hasil kerja keras dan perjuangan panjang kakaknya dalam memartabatkan karya seni. Malah, Umie juga sejak awal yakin karya itu mampu menambat hati juri profesional.

"Alhamdulillah, ramalan saya tepat dan saya tumpang gembira dengan kejayaan Erma. Sebagai adik, saya sudah masak dengan semangat dan jiwa seninya yang begitu tebal dalam dirinya. Kejayaan ini membayar segala penat lelah dan usahanya untuk memartabatkan Mak Cun sebagai naskhah yang mempunyai mesej berguna untuk dihayati penonton," katanya.

Mak Cun yang pernah mencetuskan fenomena ketika bersiaran di TV3 turut dua kali dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya dengan edisi terbaharu, Mak Cun D'walei yang berakhir, Ahad lalu.

"Setiap sentuhannya sentiasa membuahkan hasil yang membanggakan. Erma begitu ikhlas ketika berkarya dan itu antara kelebihan yang ada pada dirinya. Saya sentiasa mendoakan Erma untuk meneruskan perjuangannya dan tetap kuat ketika berdepan pelbagai kritikan," katanya membawakan watak Zeenat Manisah yang cukup meminati gaya Bollywood dalam drama itu.

Berita Harian X