Ahad, 20 November 2016 | 9:44pm
ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat pemandu lori selepas kenderaan dipandunya terbabas ke dalam gaung dekat Kea Farm, Cameron Highlands petang tadi. - Foto Ihsan BOMBA

Pemandu maut lori terbabas ke gaung

CAMERON HIGHLANDS: Pemandu lori sayur maut selepas lori dipandunya terbabas masuk ke dalam gaung sedalam 9 meter di Kea Farm, Jalan Besar Cameron Highlands, di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa Woo Hon Meng, 35, maut di tempat kejadian selepas tersepit di tempat duduk pemandu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands, Muhamad Haziq Hazmi, berkata pihaknya menerima panggilan jam 3.24 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian dan sebaik tiba mendapati pemandu lori berkenaan tersepit di tempat duduk pemandu.

Katanya, ketika diperiksa, mangsa sudah meninggal dunia dan anggota yang tiba kemudiannya menggunakan pemotong hidraulik untuk memotong kerangka lori berkenaan.

"Mayat mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Hajjah Kalsom untuk bedah siasat. Operasi ditamatkan jam 6.10 petang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Hasadid A Hamid, ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu.

Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Berita Harian X