Selasa, 22 November 2016 | 2:34pm

4 mangsa terbaru denggi berdarah di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Demam denggi berdarah sudah meragut empat nyawa di Terengganu, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun, bulan lalu.

Kanak-kanak lelaki dari Kampung Gelugor, Kemaman, itu meninggal dunia pada 24 Oktober lalu selepas lapan hari mendapatkan rawatan di Hospital Kemaman (HK), 24 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Mohamad Omar, berkata tiga lagi mangsa adalah wanita berusia 49 tahun dari Kampung Hiliran Binjai, lelaki berusia 40 dari Kampung Kubang Buyung, Kuala Terengganu dan lelaki berusia 30 tahun dari Bukit Besi, Dungun.

Katanya, wanita itu dikesan menghidap demam denggi akhir bulan lalu sebelum meninggal dunia pada 4 November selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

"Lelaki berusia 40 tahun pula meninggal dunia selepas lapan hari menerima rawatan di HSNZ manakala seorang lagi mangsa tahun meninggal dunia di Hospital Dungun (HD) pada 18 Oktober selepas sehari dimasukkan ke wad.

"Empat kematian dilaporkan sepanjang Oktober dan awal bulan ini menjadikan 19 kematian sehingga kelmarin, berbanding tiga dalam tempoh sama tahun lalu," katanya kepada BH sebelum persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini, hari ini.

Dr Mohamad berkata, antara kelemahan dikenal pasti adalah lewat mendapatkan rawatan walaupun menghidap demam beberapa hari, selain tempat pembiakan aedes ditemui dalam dan di luar rumah serta keadaan kebersihan persekitaran tidak memuaskan.

Sehingga kini, katanya, Kuala Terengganu mencatat 60.6 peratus atau 1,161 kes di Terengganu, diikuti daerah Kuala Nerus sebanyak 10.6 peratus atau 205 kes, Marang (178 kes) atau 9.2 peratus, Dungun (127) atau 6.6 peratus, Kemaman (105) atau 5.4 peratus, Besut (88) atau 4.5 peratus, Hulu Terengganu (47) atau 2.4 peratus dan Setiu sebanyak 1.2 peratus atau 24 kes.

Berita Harian X