Jumaat, 25 November 2016 | 8:42pm
DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi beramah mesra bersama pemenang utama kategori novel Nazri Hussein (dua, kanan) dan Sri Rahayu Mohd Yusof (dua, kiri) ketika menghadiri majlis penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2015 hari ini. Turut hadir Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia Tan Sri Dr Rais Yatim (kiri) dan Pengerusi Kumpulan Utusan Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh (kanan). - Foto BERNAMA

4 saranan martabatkan karya sastera tempatan

KUALA LUMPUR: Karya sastera yang menerima pengiktirafan wajar diterjemahkan dalam pelbagai bahasa sebagai usaha proaktif mengantarabangsakan karya penulis tempatan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, inisiatif itu antara empat saranan bagi mengangkat martabat dunia kesusasteraan, sekali gus menyumbang industri penulisan negara.

Katanya, penterjemahan karya bukan hanya dipertanggungjawabkan kepada Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), sebaliknya perlu dipikul bersama individu yang memiliki kepakaran dalam nilai seni bahasa.

"Lihatlah karyawan dari negara tidak tersohor, selepas diantarabangsakan dan menerima pengiktirafan dunia, akhirnya ia menjadi karya agung. Usaha mengantarabangsakan karya tempatan boleh dilaksanakan secara kolaborasi antara pelbagai organisasi di negara ini.

"Saya turut menyarankan karyawan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi membolehkan karya yang terbaik dijadikan teks wajib bagi mata pelajaran Sastera atau mata pelajaran yang relevan.

"Karya yang menjadi teks wajib itu mungkin boleh digantikan dengan karya baharu setiap tiga atau empat tahun jika tempoh 10 tahun dianggap terlalu lama, ...alangkah bagus jika Kumpulan Utusan menjadi penerbit untuk tujuan ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2015 di sini, hari ini.

Yang turut hadir Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim; Pengarah Urusan Kumpulan, Kumpulan Utusan, Datuk Mohd Noordin Abbas; Pengerusi Utusan Melayu (Malaysia) Bhd, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh dan Ketua Pengarang Kumpulan, Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, hasil karya bermutu juga seharusnya disiarkan di media sosial selain media konvensional bagi menarik minat khalayak dalam kalangan pengguna medium berkenaan.

Beliau turut menyarankan supaya Kementerian Kewangan memberikan insentif dalam bentuk pengurangan cukai kepada syarikat antarabangsa yang terbabit dengan penghasilan dan pengiktirafan karya sastera tempatan.

Di samping itu, beliau turut meminta masyarakat memberikan pengiktirafan lebih tinggi kepada hasil karya sastera bagi mengangkat martabat dan nilai sesuatu karya.

"Dalam dunia semakin mencabar dengan pelbagai kekangan yang mewujudkan dunia tanpa sepadan, kampung sejagat semakin kecil, langit semakin terbuka, ramai yang mula meminggirkan hasil dan karya seni sastera.

"Kita harus sedar bahawa gambaran masyarakat semasa terlukis daripada penghasilan karya sastera... lihat karya agung sama ada di rantau nusantara atau dunia Eropah, nilai seni masih terus dipegang biarpun sains dan teknologi semakin berkembang.

"Perlu wujud perimbangan antara seni dan nilai metafizikal bagi menuju ke arah kekamilan, ...insan yang kamil kesempurnaannya terhasil apabila duniawi dan ukhrawi diimbangkan," katanya.

Seramai 30 penulis daripada latar bidang diangkat sebagai pemenang HSKU 2015.

HSKU 2015 meningkatkan nilai hadiah bagi kategori Novel Remaja apabila pemenang pertama membawa pulang wang tunai RM10,000 (dahulunya RM7,000), manakala kedua (RM6,000 - dulunya RM4,500) dan ketiga (RM4,000 - dulunya RM3,000).

Bagi kategori itu, karya Sri Rahayu Mohd Yusop bertajuk 'Empunya Kalbu' dinobatkan sebagai pemenang kedua dan Nazri Hussein menerusi karya 'Nyanyian Musih Rusuh' meraih tempat ketiga. Tiada pemenang pertama bagi kategori berkenaan.

HSKU turut menobatkan penerima bagi kategori Cerpen, Cerpen Remaja, Puisi, Rencana Sastera dan Kajian Sastera.

21 dibaca
Berita Harian X