Sabtu, 26 November 2016 | 12:27am

Modal RM3,800 cetus kebangkitan Habib Jewels

GEORGETOWN: Sebuah kedai emas kecil di Jalan Masjid Kapitan Keling (dahulu dikenali sebagai Pitt Street) di bandar raya ini, menyimpan pelbagai kenangan pahit manis bagi seorang usahawan terkemuka tanah air.

Di kedai kecil itu, bermulanya 'pengembaraan' seorang peniaga bermodalkan RM3,800 ketika memulakan perniagaan memborong emas pada tahun 1958 sebelum berkembang hingga ke luar negara pada hari ini.

Itulah sejarah Datuk Habib Mohamed Abdul Latif, yang mengasaskan Kedai Emas MA Habib Mohamed sebelum ditransformasikan oleh anak sulungnya, Datuk Seri Meer Sadik Habib, kepada jenama Habib Jewels.


PENGARAH Urusan Habib Jewels Sdn Bhd, Datuk Seri Meer Sadik Habib di hadapan premis pertama Habib Jewels di Jalan Masjid Kapitan Keling, Pulau Pinang.

Difahamkan, Habib Mohamed memilih Jalan Kapitan Keling kerana sejak awal 1950-an, laluan terbabit dipenuhi kedai emas sehingga digelar 'Jewel's Corner' dalam kalangan masyarakat tempatan

Meer Sadik, 58, yang kini Pengarah Urusan Habib Jewels Sdn Bhd, berkata menerusi kedai emas pertama itu, bapanya menumpukan perniagaan barang kemas secara borong.

"Tujuan asal bapa meneroka perniagaan emas ketika itu, hanyalah kerana mahu mencari rezeki menyara keluarga, kerana beranggapan bidang terbabit lebih stabil berbanding perniagaan lain.

"Mulanya, bapa saya berniaga secara membeli barang kemas daripada kedai pajak, sebelum dijual kepada kedai lain.

"Kegigihan bapa memberi inspirasi kepada saya untuk meneruskan legasinya selepas tamat pengajian universiti," katanya ketika ditemui BH di premis pertama Habib Jewels itu.

Meer Sadik berkata, menerusi transformasi dan penstrukturan perniagaan, strategi Habib Jewels diubah kepada jualan barang kemas secara runcit.


MEER Sadik menunjukkan koleksi gelang tangan yang dipamerkan di premis Habib Jewels di Georgetown.

Langkah itu menyaksikan, Habib Jewels kini mempunyai 31 cawangan di seluruh negara, selain berkembang ke Hong Kong, Indonesia, Singapura, Amerika Syarikat, Asia Barat dan Eropah.

Habib pernah dinobatkan antara jenama terbaik dalam kategori perniagaan barang kemas di 'Campaign Asia Pacific' dan 'TNS Asia Top 1,000 Brands' selama tiga tahun berturut-turut mulai 2012.

Dalam memberi pengetahuan bermanfaat kepada semua lapisan masyarakat, selain rekaan bertaraf dunia, Meer Sadik berkata, pihaknya turut membuka kilang memproses barang kemas dengan bahan berkualiti yang boleh dilawati orang ramai.

Beliau berkata, pemahaman terhadap pasaran barang kemas, membolehkan syarikat itu memperkenalkan lebih banyak jenama.

Katanya, tumpuan Habib Jewels kini bukan sahaja kepada emas, tetapi juga membabitkan batu permata, selain menceburi industri perhotelan dan kedai pajak gadai Ar-Rahnu Express yang berlandaskan syariah.

"Habib Jewels turut menjalankan usaha sama dengan beberapa jenama antarabangsa yang menceburi bidang berlian, barang kemas buatan tangan dan aksesori.

"Antara jenama itu terdiri daripada 'Hearts On Fire' yang terkenal dengan pemotongan berlian yang sempurna, 'Pandora' dan 'Ice Watch' jenama jam tangan mewah mampu milik yang sesuai dipakai pelbagai peringkat umur," katanya.

Beliau berkata, semua jenama berkenaan sudah pun dipasarkan secara ekslusif oleh Habib di seluruh Malaysia bagi mencapai visi menjadi syarikat barang kemas paling berjaya dan bertaraf dunia.

Tamat... 

46 dibaca
SEBAHAGIAN daripada koleksi duit syiling emas yang dipamerkan di premis pertama Habib Jewels di Georgetown.
MEER Sadik menunjukkan koleksi gelang tangan yang dipamerkan di premis Habib Jewels di Georgetown.
MEER Sadik menunjukkan koleksi emas yang dipamerkan di premis Habib Jewels di Georgetown.
ANTARA koleksi emas yang dipamerkan di premis pertama Habib Jewels di Georgetown.
Berita Harian X