Sabtu, 26 November 2016 | 11:06am

40 kanak-kanak DUN Kuah khatan beramai-ramai

LANGKAWI: Seramai 40 kanak-kanak menyertai Program Berkhatan Beramai-Ramai anjuran Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuah, di sini hari ini.

Program selama tiga jam mulai 9 pagi itu dianjurkan bersama Klinik Kesihatan Kuah dan disertai kanak-kanak berusia enam hingga 11 tahun. Majlis perasmian disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri Kuah, Nor Saidi Nanyan.

Lebih meriah apabila semua kanak-kanak terbabit disembur air yang disediakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Langkawi serta diberi pulut kuning sambil disaksikan lebih 100 tetamu.

Seramai 24 petugas kesihatan yang diselia Pegawai Kesihatan Daerah Langkawi, Dr Mohd Lutpiyudin Azidin terbabit bagi melancarkan proses melangkah ke alam remaja itu.

Sementara itu, Afdhal Muammar Mohd Noh Fadzli, 7, berkata dia tidak pernah takut berkhatan, sebaliknya menganggap ia pengalaman istimewa menjadi dewasa.

"Saya sendiri yang nak berkhatan, tiada sesiapa paksa. Selepas khatan, saya akan jadi dewasa, itulah yang saya mahu dan langsung tidak rasa takut," katanya.

Berita Harian X