Sabtu, 26 November 2016 | 11:43am

Fasa pertama projek MRT jajaran Sungai Buloh-Semantan siap awal

KUALA LUMPUR: Kejayaan menyiapkan awal fasa pertama projek MRT Lembah Klang, Jajaran Sungai Buloh-Kajang (MRT SBK) di antara Sungai Buloh dan Semantan dapat mengurangkan pembaziran seperti kos dan tenaga kerja, selain memastikan projek dapat disiapkan dalam lingkungan bajet ditetapkan.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan MRT, Datuk Najmuddin Abdullah, berkata operasi Jajaran Sungai Buloh-Semantan pada 16 Disember ini, iaitu 16 hari lebih awal daripada jadual turut membantu menambah kecekapan keseluruhan projek yang disasar beroperasi sepenuhnya menjelang Julai depan.

Projek Jajaran MRT SBK bernilai RM23 bilion yang meliputi jarak 51 kilometer berserta 31 stesen adalah sebahagian daripada Projek Transformasi Ekonomi (ETP) hasil inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ia juga antara Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk menambah baik sistem pengangkutan bandar yang berintegrasi dengan tiga lagi sistem hubungan rel iaitu LRT, KTM Komuter and KL Monorel.

Beliau berkata, bagi orang biasa, 16 hari itu tidak memberi sebarang pengertian, namun bagi perspektif teknikal, ia adalah besar.

"Kita jimat banyak wang, mengurangkan pembaziran pembinaan yang tidak perlu dan orang ramai boleh menaiki MRT pada masa lebih awal," katanya.

Najmuddin berkata, antara faktor utama yang membantu projek siap lebih awal ialah penubuhan jawatankuasa eksekutif yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa yang juga Pengerusi MRT Corp.

MRT Corp milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan yang ditubuhkan sebagai pemaju dan pemilik aset projek MRT.

"Penubuhan jawatankuasa ini, saya percaya yang pertama seumpamanya dalam sebarang projek mega di Malaysia yang membabitkan ketua setiausaha kementerian berkaitan seperti Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan.

"Ia juga disertai pegawai kanan Kerajaan Selangor dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur," katanya.

Beliau berkata, selain memantau projek, jawatankuasa itu turut membantu MRT Corp dalam menyelesaikan masalah berkaitan kerajaan Persekutuan dan negeri yang timbul berhubung pembinaan projek berkenaan.

Bagi memastikan projek boleh dilaksanakan dalam kawasan milik persendirian, MRT Corp membuat perjanjian bersama dengan pemilik tanah, iaitu syarikat persendirian untuk sama-sama membangunkan kawasan berkenaan, seperti perjanjian dengan TRX City Sdn Bhd bagi membina stesen bawah tanah.

"MRCB Corp pula akan membina laluan pejalan kaki sepanjang 300 meter yang menghubungkan Stesen MRT KL Sentral dan KL Sentral," kata Najmuddin.

Beliau berkata, projek MRT bukan sahaja memberi pulangan ekonomi terutama di kawasan sepanjang jajaran, tetapi juga menambah nilai hartanah dan pembangunan komersial.

"Dengan siapnya MRT SBK, ia boleh mengurangkan kira-kira 160,000 kereta di atas jalan yang memberi kesan besar dalam menangani kesesakan lalu lintas," katanya.

Beliau berkata, dianggarkan sekitar 400,000 penumpang akan menggunakan Jajaran MRT SBK setiap hari apabila siap kelak.

"Dengan menggunakan MRT, orang ramai boleh mengurangkan beban kewangan untuk penggunaan dan penjagaan kenderaan mereka terutama bagi kos minyak, tol serta letak kereta," katanya.

Mengenai tambang bagi laluan MRT SBK, Najmuddin berkata, ia antara RM1 hingga RM6.40 yang mampu dibayar.

Beliau berkata, bagi Jajaran Sungai Buloh-Semantan, bas perantara akan turut disediakan untuk membawa penumpang dari stesen ke laluan LRT berdekatan seperti dari Pusat Bandar Damansara ke KL Sentral. - BERNAMA

Berita Harian X