Sabtu, 26 November 2016 | 11:56am

Harley Davidson milik Sultan Johor dipamer untuk lelongan


Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, berkenan bergambar bersama semua peserta selepas acara perasmian Kejohanan Golf Amal Piala Laksamana, di The Els Club Desaru,Kota Tinggi. - Foto Mohd Azren Jamaludin

KOTA TINGGI: Motosikal berkuasa tinggi, Harley Davidson milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang disumbangkan bagi tujuan lelongan, dipamerkan pada Kejohanan Golf Amal Piala Laksamana, hari ini.

Motosikal dengan nombor pendaftaran JSA1 itu diletakkan di ruang legar dewan utama The ELS Club Desaru bagi dipertontonkan kepada peserta dan mereka yang berminat untuk acara lelongan.


Motosikal berkuasa tinggi, Harley Davidson milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang disumbangkan bagi tujuan lelongan dipamerkan pada Kejohanan Golf Amal Piala Laksamana, di The Els Club Desaru,Kota Tinggi. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Harley Davidson baharu model Roadking itu menarik perhatian ramai, bukan sahaja kerana nombor pendaftarannya, malah warna kuning keemasan pada komponen utama motosikal membuatkan ramai tertarik dan berminat.

Acara lelongan dijangka berlangsung jam 2 petang ini yang akan dikendalikan selebriti terkenal tanah air, Harith Iskandar, disusuli majlis penyampaian hadiah serta Piala Pusingan Laksamana kepada pemenang kejohanan golf.


Motosikal berkuasa tinggi, Harley Davidson milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang disumbangkan bagi tujuan lelongan dipamerkan pada Kejohanan Golf Amal Piala Laksamana, di The Els Club Desaru,Kota Tinggi. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Presiden Persatuan Golf Pelancongan Johor  (JGTA), Datuk Mohd Jamal Salleh, berkata pihaknya meletakkan sasaran nilai lelongan serendah RM750,000 bagi tujuan mengisi dana Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.

"Kami amat berbesar hati apabila baginda bersetuju menyumbang motosikal berkuasa tinggi itu untuk dilelong dan kami harap sasaran mengumpul dana berjumlah RM1.5 juta sempena penganjuran kejohanan ini dapat dicapai," katanya.

Seramai 120 pemain golf termasuk dari Singapura berentap dalam kejohanan sehari itu. Media Prima Berhad dipilih sebagai media rasmi kejohanan yang julung kali dianjurkan Persatuan Golf Pelancongan Johor (JGTA).

Kejohanan turut menawarkan Piala Pusingan Laksamana seberat 14 kilogram dengan nilai RM411,322, yang ditaja Sultan Ibrahim dan ditempah khas dari sebuah syarikat pembuat piala terkemuka di England.

Berita Harian X