Sabtu, 26 November 2016 | 3:13pm

20,664 pesakit tunggu organ gantian - Lam Thye


PENGERUSI Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ Kebangsaan, Tan Sri Lee Lam Thye bergambar bersama orang ramai pada Majlis Perasmian Penutup Jelajah Promosi Pendermaan Organ Kebangsaan 2016 peringkat negeri di Kompleks Rawatan Harian Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, hari ini. - Foto Imran Makhzan

KUALA TERENGGANU: Seramai 50,000 orang disarankan menjadi penderma organ dan tisu dalam usaha membantu pesakit yang memerlukan tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ Kebangsaan, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata 23,800 orang sudah berikrar menjadi penderma sehingga Oktober lalu, namun jumlah penderma organ dan tisu menurun kepada hanya 28 orang berbanding 71 individu tahun lalu dan 56 pada 2014.  

"Dalam tempoh sama, jumlah pesakit sedang menunggu untuk mendapatkan organ di negara ini adalah 20,664 orang. Pendermaan organ bagi membantu pesakit yang menghadapi masalah buah pinggang, hati, jantung dan paru-paru," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutup Jelajah Promosi Pendermaan Organ Kebangsaan 2016 peringkat negeri di Kompleks Rawatan Harian Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Kanan (Perubatan) Kementerian Kesihatan, Datin Dr Siti Hajar Daud; Ketua Pengurus Perolehan Transplan Kebangsaan Pusat Sumber Transplan Nasional, Datin Dr Fadhilah Zowyah Lela Yasmin Mansor.

Yang hadir sama, Pengerusi Tissue and Organ Procurement Team (TOP TEAM) merangkap Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Kanan Jabatan Anestesiologi dan Rawatan Rapi HSNZ, Datuk Dr Aisai Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Lam Thye berkata, seramai 367,570 orang sudah berikrar dari tempoh 1997 hingga 30 Oktober lalu untuk menderma organ selepas kematian mereka.

Berita Harian X