Selasa, 29 November 2016 | 9:24pm

40 peratus wanita hamil kena diskriminasi di tempat kerja


Menteri Pembanguan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas berhubung laporan media antarabangsa Al Jazeera mendakwa Malaysia sebagai pusat sendikit penjualan bayi di Putrajaya. - Foto Fariz Iswadi Ismail

KUALA LUMPUR: Kajian Pertubuhan Pertolongan Wanita (WOA) pada April lalu mendapati 40 peratus daripada wanita hamil di negara ini, didiskriminasi di tempat kerja.

Bagaimanapun, WAO dalam kenyataannya hari ini, berkata hanya satu daripada lapan wanita hamil yang didiskriminasi, membuat aduan rasmi.

Sehubungan itu, rang undang-undang yang komprehensif bagi melindungi semua wanita daripada sebarang bentuk diskriminasi sangat diperlukan.

"WOA bersama dengan kumpulan wanita lain menggalakkan penggubalan Akta Kesaksamaan Jantina sejak 2006.

"Kami mengalukan pengumuman Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim bahawa kementeriannya sedang berusaha merealisasikan Akta Kesaksamaan Jantina ini pada 2 November lalu," katanya.

Dalam pada itu, WOA turut mengalu-alukan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 November lalu dalam menegakkan hak perlembagaan Noorfadilla Ahmad Saikin terhadap kesaksamaan jantina, dalam kes mengenai diskriminasi kehamilan.

Pada 2009, Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat menarik balik tawaran pekerjaan Noorfadilla sebagai guru sandaran tidak terlatih (GSTT) selepas mengetahui beliau hamil.

Berikutan itu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa diskriminasi kehamilan adalah 'pelanggaran hak-hak perlembagaan' di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan Noorfadillah mendapat ganti rugi sebanyak RM30,000.

Dalam keputusan terkini, Mahkamah Rayuan meningkatkan pampasan beliau sebanyak RM10,000 bagi 'tekanan emosi dan mental' serta menolak penilaian Mahkamah Tinggi bahawa Noorfadilla sudah mengaut keuntungan daripada kes berkenaan.

Berita Harian X